Anwar secara rasmi terajui Putrajaya, istiadat angkat sumpah PM ke-10 di Istana Negara selesai


  • Primer
  • Khamis, 24 Nov 2022

Anwar mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong. — Tangkap layar RTM

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 5 petang.

Yang turut berangkat pada istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

KAJANG, 24 Nov -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Ahli Parlimen Tambun Datuk Seri Anwar Ibrahim bergerak ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar melambai tangan ke arah penyokongnya sebelum bergerak ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. — Bernama

Ahli Parlimen Tambun itu kemudian menandatangani dokumen-dokumen berkaitan sambil disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Terdahulu, kenderaan pengiring yang membawa Anwar yang juga Presiden PKR tiba di Istana Negara pada pukul 4.32 petang.

Beliau ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berbaju kebaya labuh.

Ketika keluar dari kediamannya, Anwar, 75, sempat melambaikan tangan ke arah petugas media dan penyokongnya yang berkampung di hadapan rumahnya di Sungai Long, Kajang.

Untuk rekod, Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan gabungan parti antaranya PH memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram