Saya bangga dengan papa — Nurul Izzah


  • Politik
  • Khamis, 24 Nov 2022

Nurul Izzah berbangga dengan perjuangan bapanya yang tidak pernah padam sejak 1998.

"SAYA sentiasa bangga dengan papa walaupun terbaring dipenjarakan sebagai tahanan."

Itu yang diluahkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah selepas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Dalam hidup di dunia, kita tidak mampu terlepas daripada dugaan.

"Ketika kalah kita diduga, Ketika menang juga kita diduga. Yang pasti, sejak 1998 sehingga saat ini adalah kewajipan untuk kita berpegang terus kepada garis batas perjuangan, menuntut keadilan bukan untuk diri kita tetapi sebagai pemangkin kepada perlindungan untuk semua," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada Khamis.

Dalam hantaran sama, Nurul Izzah juga berkata legasi ditinggalkan untuk anak-anak dan generasi masa depan bukannya harta, pangkat mahupun wang ringgit.

"Tetapi idealisme dan prinsip perjuangan yang tidak boleh dijual beli. Jadikan masa depan, masa kita bersama. Khayr, Insya-ALLAH," katanya.

Ruangan komen pemimpin politik itu juga dipenuhi dengan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Untuk rekod, istiadat Pengurniaan Suratcara Perlantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang Khamis di Istana Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram