Elak sebarang perhimpunan, provokasi - Rafizi


  • Politik
  • Khamis, 24 Nov 2022

Selepas Anwar diumum sebagai PM, Rafizi (kiri) mengeluarkan kenyataan menasihatkan supaya tidak ada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko provokasi.

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menasihatkan rakyat Malaysia dan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan untuk mengelak risiko provokasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ahli Parlimen Pandan itu dalam satu kenyataan berkata, beliau menyembah takzim kepada Yang di-Pertuan Agong yang bertitah memperkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri yang akan mengetuai sebuah kerajaan perpaduan.

"Seperti mana pimpinan PKR dan PH tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang usaha membentuk kerajaan perpaduan berlangsung, saya menyeru semua rakyat Malaysia, terutamanya penyokong dan anggota PKR, PH dan rakan-rakan politik menghormati keperluan mendesak untuk meredakan keadaan.

“Oleh itu, saya menasihatkan supaya tidak ada sebarang perhimpunan oleh mana-mana pihak untuk mengelakkan risiko provokasi.

“Berhati-hati dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh politik,” katanya dalam kenyataan di Twitter pada Khamis.

Beliau turut menasihatkan semua agar berhati-hati dengan sebarang kandungan di media sosial atau pesanan ringkas yang boleh menimbulkan kerisauan atau dijadikan alasan untuk provokasi.

“Kita semua perlu bergerak ke hadapan dan belajar bekerjasama untuk membina kembali Malaysia, demi masa depan dan kemakmuran setiap rakyat dari semua kumpulan, kaum, negeri dan latar belakang,” ujarnya.

Sementara itu, dalam satu hantaran di Facebook, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat turut meminta rakyat Malaysia terutamanya penyokong Perikatan Nasional (PN) supaya menerima keputusan berhubung lantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Semua ahli dan penyokong diharap bersabar. Patuh pada arahan pimpinan. Terus istiqamah dengan perjuangan. Isbiru...," tulisnya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ahli Parlimen Tambun itu akan menghadiri Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada pukul 5 Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram