KERAJAAN Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan bagi mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijalankan serentak tahun hadapan, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
"Pembubaran DUN (Dewan Undangan Negeri) secara serentak perlu dilakukan bagi memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri tersebut pada tahun hadapan tidak terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor pada Khamis.
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan pula diterajui PAS.
Enam negeri tersebut tidak membubarkan DUN masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas.
Menurut Amirudin, asas DUN di enam negeri itu tidak dibubarkan berserentak pada PRU15 itu kerana ada perbincangan tidak rasmi antara enam negeri itu mengenainya.
Beliau menjangkakan PRN akan dilaksanakan selepas Aidilfitri tahun depan, namun bergantung kepada situasi di peringkat kerajaan Persekutuan dan cuaca.
"Saya tidak boleh sebut bayangan (tarikh khusus bubar) tetapi kemungkinan sampai selepas Hari Raya, agak besar. Namun, kita akan lihat dan tertakluk kepada perbincangan dengan negeri lain," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram