Aksi 13 perlawanan tanpa gol, fans merelakan penghijrahan pemain tersisih Penang FC


  • Podium
  • Khamis, 24 Nov 2022

Masa depan Jafri (dua dari kiri) bersama Penang FC semakin samar-samar. — Facebook/Penang FC

SETELAH hampir dua minggu tersingkir dari pentas Piala Malaysia, pihak pengurusan Penang FC dilihat masih berdiam diri dalam merancang perkembangan pasukan itu untuk musim depan.

Kekalahan memalukan di tangan kelab Liga Perdana, Kuching City FC ditambah dengan laungan penyokong yang berharap berlaku perubahan yang mampu dibawa secepat mungkin.

Hal tersebut kerana mereka melalui satu musim yang mengecewakan dalam liga sehingga menduduki tangga terakhir dengan hanya 12 mata mampu dikumpul.

Oleh itu, antara perkara yang sewajarnya dilakukan pihak pengurusan adalah rombakan secara besar-besaran skuad Harimau Kumbang ketika jendela perpindahan.

Di samping perlu mendapatkan pemain baharu, beberapa wajah juga perlu disingkirkan dengan menilai persembahan dan sumbangan mereka sepanjang musim.

Antara nama yang mula dicadangkan penyokong ialah pemain berusia 25 tahun, Jafri Firdaus Chew selepas kehadirannya seakan-akan tidak dirasai dalam pasukan.

311944232_624037749236883_1303564180025658083_n

Prestasi Jafri bersama Penang FC kurang memberangsangkan musim ini. Facebook/Penang FC

Selain isu kecergasan, bekas pemain Harimau Muda itu juga difahamkan bergelut dalam pelbagai posisi meskipun bekas pengendali sementara, Datuk Zainal Abidin Hassan memberi beberapa peluang kepadanya.

Namun, kepercayaan itu bagaikan tidak terbalas selepas dia gagal untuk mempamerkan prestasi terbaik sehingga mendatangkan perasaan kurang senang setiap kali diturunkan.

Baru-baru ini, Sabah FC dikhabarkan bakal menjadi destinasi baharu buat Jafri selepas pernah menerima didikan Datuk Ong Kim Swee ketika awal kariernya.

Mendengar perkhabaran itu, penyokong Penang FC tidak menunggu lama untuk meluahkan perasaan mereka di media sosial yang seolah-olah terbuka untuk melihat pemergiannya.

"Biarkan sahaja dia pergi, saya lihat dia seperti tidak boleh diharapkan. Pada saya, disebabkan dia berada di atas padang, kita akan kalah teruk," kata Jia Huah Khong.

"Lepaskan sahaja. Walaupun dia sanggup menggadaikan posisi untuk mendapatkan minit-minit permainan, masih tidak beraksi dengan baik," kata Shah Akmal.

"Bagus juga kalau dia pergi, menyampah pula tengok dia main beberapa perlawanan sebelum ini. Hantaran pun tidak mengena, macam mana?" kata Mohammad Hanafi Mahazir Asaadi.

Musim ini, Jafri kerap diturunkan dalam pelbagai posisi, termasuk sebagai pemain pertahanan kanan walaupun dia merupakan seorang penyerang sayap.

Bagaimanapun, dalam 13 penampilan, pemain kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu gagal menyuntik perbezaan buat pasukan selepas gagal menjaringkan sebarang gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram