MESKIPUN tidak berdepan isu tunggakan gaji dan pengurusan, Penang FC gagal untuk mengulangi prestasi musim lalu selepas menamatkan Liga Super di tangga tercorot.
Pemergian ketua jurulatih kelahiran Republik Czech, Thomas Trucha dikatakan sebagai punca utama atas kemerosotan itu dengan ramai melihat Datuk Zainal Abidin Hassan bukanlah satu pilihan yang bijak.
Kekecewaan itu diluahkan di media sosial dengan rata-rata daripada penyokong tidak henti-henti mendesak perubahan dilakukan pihak pengurusan sebelum permulaan musim depan.
Namun, melihat kepada situasi skuad Harimau Kumbang ketika ini, terdapat pelbagai rombakan yang perlu dilakukan dengan pemain import dan tempatan dirasakan kurang menyumbang sepanjang musim.
Hal itu pastinya membebankan struktur kewangan Penang FC selepas pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan pasukan simpanan perlu dibangunkan di pelbagai peringkat.
Oleh itu, mereka pastinya merangka perancangan dengan teliti dalam membawa masuk wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan akan datang untuk mengelak kerugian terhadap pasukan.
Berdasarkan statistik musim lalu, benteng pertahanan Harimau Kumbang perlu menjalani rombakan segera selepas pasukan tersebut dibolosi sebanyak 45 kali dalam 22 perlawanan.
Meskipun dibarisi import tinggi lampai, Rafael Vitor, kelab utara tanah air itu masih bergelut untuk menyekat serangan lawan berikutan ketiadaan pemain berkualiti dalam benteng mereka.
Jadi, barisan kejurulatihan akan datang pastinya berusaha untuk membaiki masalah itu dengan membawa masuk wajah baharu ketika tempoh perpindahan pemain yang bakal dibuka hujung tahun ini.
Persoalannya, siapakah yang mampu dibawa masuk tanpa perlu berbelanja besar serta mempunyai kemahiran untuk menyesuaikan diri dalam arena bola sepak tanah air?
Perkara itu seakan-akan sudah dijawab penyokong menerusi satu hantaran di laman Facebook Penang Brotherhood yang berhasrat untuk melihat kepulangan bekas pemain, Reinaldo Lobo.
Pertahanan kental kelahiran Brazil itu pernah beraksi bersama skuad Harimau Kumbang selama dua musim, iaitu dari 2015 hingga 2017 selain berjaya mengecapi beberapa kejayaan.
Ketika ini, pemain yang juga dikenali sebagai 'Cokodok' dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan itu sedang menabur khidmat bersama pasukan kerdil Brazil, Altos.
Persoalannya, selepas hampir lima tahun meninggalkan kelab, mengapakah nama pemain bertubuh besar tersebut mula disebut-sebut penyokong sehingga ada yang mendambakan kepulangannya?
1. Gandingan bersama Rafael Vitor
Musim ini, barisan kejurulatihan Penang FC meletakkan kepercayaan kepada Rafael Vitor untuk menggalas tanggungjawab sebagai kapten pasukan selepas beraksi cemerlang di barisan pertahanan.
Walaupun dia dilihat mampu memikul amanat itu dengan baik, skuad Harimau Kumbang masih sukar untuk meneruskan prestasi baik dari segi pertahanan berbanding musim lepas.
Hal itu dilihat berikutan kesukarannya untuk mencipta gandingan serasi bersama pemain tempatan, seperti Khairul Akmal dan Syazwan Zaipol dengan terdapatnya perbezaan bahasa pertuturan.
Oleh itu, pihak pengurusan pastinya bertindak untuk mencari seorang lagi pemain kelahiran Brazil untuk membina satu benteng lebih kukuh dalam menyekat gerakan lawan.
Rafael Vitor perlu satu gandingan serasi sekiranya Penang mahu mencabar musim depan. — Facebook/Penang FC
Status Reinaldo sebagai anak jati Brazil dilihat sebagai satu kelebihan untuk mendapatkannya ketika jendela perpindahan, sekali gus meletakkan harapan satu gandingan lebih mantap dapat dicipta.
Bukan itu sahaja, gandingan kedua-dua pemain itu dilihat mampu membawa kelebihan buat Penang FC yang musim ini dibanjiri pemain dari negara Amerika Selatan itu.
Perkara itu pastinya disedari Cokodok dalam memilih destinasi baharu untuknya meneruskan mahupun menamatkan kariernya bersama salah satu pasukan yang pernah memberi suasana baharu buatnya sebelum ini.
2. Usia dan pengalaman
Selain pernah berkhidmat bersama beberapa pasukan kecil di negara kelahirannya, Reinaldo juga pernah berkelana di beberapa negara, termasuk Portugal, Indonesia dan Malaysia.
Karier yang dilihat berwarna-warni itu pastinya membawa kelebihan terhadap kemampuannya di atas padang dengan pendedahan berbeza di liga tersendiri.
Perkara itu pastinya dapat disumbangkan untuk Penang FC musim depan yang kelihatan sedikit kekok setiap kali beraksi disebabkan kekurangan suntikan pengalaman buat pasukan.
Reinaldo pernah beraksi bersama kelab Indonesia, PSPS Medan buat semusim. — Agensi
Seperti dibincangkan awal tadi, perbezaan latar belakang Rafael menyukarkannya untuk membangkitkan semangat rakan sepasukan sehingga dilihat kurang memberi saingan sepanjang musim.
Oleh itu, pihak pengurusan perlu pantas untuk membawa Reinaldo ke utara tanah air kerana pengalaman tersebut sukar untuk dicari galang-ganti dalam masa terdekat.
Tambahan pula, usianya yang mencecah 32 tahun mewujudkan perasaan hormat dalam kalangan pemain muda yang diharapkan mampu meneladani titik peluh Reinaldo buat pasukan.
Hal itu juga bakal memberi kelebihan kepada barisan kejurulatihan akan datang dalam membina suasana harmoni dalam bilik persalinan yang kemudiannya dapat dicurahkan di atas padang.
3. Struktur fizikal
Dalam arena bola sepak tempatan, import pertahanan Liga Malaysia sering memiliki ketinggian optimum serta struktur fizikal yang sasa, seperti Pape Diakite bersama Terengganu FC dan Yazan Al-Arab bersama Selangor FC.
Perkara itu juga dapat disaksikan dalam skuad Penang FC apabila mereka menyambar khidmat Rafael Vitor yang berketinggian 1.92m dan bertubuh tegap.
Ciri-ciri itu dilihat sebagai satu kelebihan buatnya setelah dia mudah menyekat hantaran lawan selain menjadi ancaman buat pasukan lawan ketika situasi bola mati.
Struktur fizikal Reinaldo (kiri) merupakan satu kelebihan bermakna buatnya.
Jadi, sekiranya Harimau Kumbang berjaya menyambar khidmat Reinaldo, ia bakal menjadi satu perbezaan buat pasukan dengan pemain itu mempunyai kelebihan dari segi fizikal.
Ketinggiannya yang mencecah 1.86m pastinya bijak digunakan selepas dia difahamkan kerap mengecewakan serangan pihak lawan dengan menanduk keluar hantaran mereka.
Selain itu, susuknya yang bidang itu juga mampu menyekat larian daripada pemain lincah dengan melakukan asakan bersih kepada mereka dalam mengawal semula permainan.
Oleh itu, sekiranya Reinaldo tidak disambar secepat mungkin, ia boleh dianggap sebagai satu kerugian buat Penang FC yang pastinya tertanya-tanya akan pemain pertahanan yang perlu dibawa masuk nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram