ISU pengurusan Terengganu FC menyaksikan ketua jurulatih, Nafuzi Zain memilih untuk meninggalkan pasukan meskipun mengharungi satu kempen yang cemerlang.
Selain berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, skuad Sang Penyu turut tampil dengan prestasi baik ketika Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.
Namun, kegagalan untuk mencapai kata persetujuan antara kedua-dua pihak menyaksikan pengendali muda itu mengambil haluan sendiri dengan beberapa pasukan difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Lebih teruk lagi, tonggak pasukan juga dilaporkan bakal menuruti jejak langkah Nafuzi untuk meninggalkan pasukan selepas tidak ditawarkan kontrak lanjutan.
Antara khabar angin yang muncul adalah penghijrahan penyerang tempatan, Faisal Halim dan import berpengalaman, Manuel Ott dengan masing-masing dikaitkan dengan Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Perkara itu pasti mengecewakan penyokong pasukan Pantai Timur tersebut yang semestinya tidak mahu melihat pemergian pemain dengan sumbangan besat sepanjang musim.
Bagaimanapun, baru-baru ini, muncul satu lagi khabar angin yang bertiup kuat di media sosial dengan mengaitkan penyerang kelahiran Liberia, Kpah Sherman bakal menyertai Sri Pahang FC.
Sherman (kanan) dikhabarkan mula dirisik Sri Pahang FC dan beberapa pasukan Liga Malaysia. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun kurang diberi peluang dalam Liga Super, pemain tinggi lampai itu masih mampu menyumbang enam gol serta satu bantuan dalam 14 penampilan.
Selain itu, Sherman berjaya menunjukkan taringnya dalam kempen Piala Malaysia selepas meledak tujuh gol, termasuk satu hatrik ketika berdepan skuad Tok Gajah itu.
Perkara itu dilihat berjaya menarik perhatian pihak pengurusan Sri Pahang FC yang bercita-cita besar untuk menjadikan pasukan itu kembali bersaing musim depan.
Sherman dilihat sebagai salah satu pilihan yang tepat untuk dibawa masuk dengan persoalan mengenai masa depan penyerang import, Steven Rodriguez masih tidak terjawab.
Tetapi, sekiranya 'Titi' berminat untuk meneruskan khidmatnya musim depan, gandingan kedua-dua pemain itu pasti diterima penyokong, sekali gus meningkatkan kemampuan mereka di atas padang.
Seorang penyokong bola sepak tempatan, Tengku Ikhwan Hakim berhasrat untuk melihat kelibat Kpah di Stadium Darul Makmur, Pahang musim depan dengan ciri-ciri fizikalnya merupakan satu kelebihan buat pasukan.
"Harap dia pergi Sri Pahang kerana mereka tiada pemain yang mempunyai kekuatan dan kehadiran fizikal yang besar serta berpengalaman untuk pasukan," katanya.
Pendapat itu turut dipersetujui Man Kanopi Kuantan apabila berasakan pemain berusia 30 tahun itu mempunyai sentuhan hebat, lebih-lebih lagi di hadapan pintu gol lawan.
"Terbaik ni sebab semangat dia kuat untuk mencari gol kemenangan," katanya.
Musim ini, Sri Pahang mengharungi satu kempen yang tidak menentu sehingga menyaksikan mereka berada di kedudukan ketujuh selain tersingkir awal dalam kempen Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram