Mimpi Fadhil Wahab beri satu harapan terakhir buat Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Fadhil (kanan) seperti memberi bayangan bahawa tonggak Terengganu FC bakal kekal untuk semusim lagi. — Facebook/Terengganu FC

HUBUNGAN antara ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain dan kelab Pantai Timur itu sepertinya sudah terlerai selepas diumumkan tawaran lanjutan kontrak sudah ditolak.

Selepas membawa pasukan itu ke pentas akhir Piala FA dan muncul sebagai naib johan Liga Super, keputusan itu dilihat sedikit mengecewakan, lebih-lebih lagi kepada penyokong Sang Penyu.

Di samping pendekatan taktikal yang menarik, kredibiliti Nafuzi juga sering diberi pujian dengan usia mudanya serta semangatnya dalam membawa perubahan kepada pasukan.

Tidak cukup dengan itu, pemergian jurulatih berusia 44 tahun itu juga diramal bakal menyaksikan beberapa tonggak pasukan bakal meninggalkan pasukan dengan ada yang dikhabarkan akan mengikuti jejak langkah Nafuzi.

Antara nama yang kuat dikatakan bakal berhijrah ketika jendela perpindahan akan datang ialah pemain sayap berbisa, Faisal Halim dengan sebilangan pasukan Liga Malaysia sudah merisik khidmatnya untuk musim depan.

Menurut khabar angin ketika ini, Selangor FC merupakan destinasi berikutnya buat penyerang berusia 24 tahun itu melihat kepada struktur kewangan serta reputasi pasukan itu.

Perkara tersebut seakan-akan sudah diterima rata-rata penyokong Terengganu FC yang semakin hari semakin terbuka untuk berpisah dengan pemain kebangsaan itu.

315906412_1598410460589629_5480570263635179316_n

Faisal dikhabarkan bakal menyarung jersi Gergasi Merah musim depan. Facebook/Terengganu FC

Namun, baru-baru ini, pengurus Sang Penyu, Mohd Fadhil Wahab memberi satu gambaran bahawa Faisal akan kekal menerusi satu hantaran di laman Facebook peribadinya.

"Malam tadi, tidur mimpi Faisal Halim masih kekal di Terengganu. Wallahualam. Mimpi mainan tidur," tulisnya ringkas.

Hal itu pastinya menarik perhatian ramai dengan segelintir peminat tegar Sang Penyu masih mempunyai sedikit harapan untuk melihat pemain bersusuk tubuh kecil itu terus menyarung jersi Terengganu FC musim depan.

Seorang penyokong, Kareem Mohd berkata, pihak pengurusan boleh berbincang dengan pemain, terutama Faisal supaya boleh dikekalkan untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

"Boleh dibincangkan lagi tu, Insya-ALLAH bolehlah ditanda-tangani untuk semusim lagi," katanya.

Bagi Nazri Ismail pula, dia juga berharap luahan Fadhil itu mampu berubah menjadi realiti, sekali gus memberi sedikit kegembiraan buat penyokong secara seluruhnya.

"Insya-ALLAH, kalau keluar ayat seperti ini, sepertinya 80 peratus dia akan kekal. Mungkin cakap-cakap sahaja pada mulanya, tetapi masih boleh diterima," katanya.

Pendapat itu turut dilaungkan Siti Sulaiha yang masih meletakkan harapan untuk menyaksikan Faisal menerajui jentera serangan Terengganu FC musim depan.

"Mungkin, saya harap semoga mimpi itu jadi kenyataan. Semoga Faisal terbuka hati untuk terus kekal di Terengganu bagi tahun depan," katanya.

Pemain kelahiran Seberang Jaya, Penang itu menjadi buruan beberapa pasukan selepas mencatat enam gol dan sembilan bantuan dalam 20 aksi Liga Super.

Selain itu, kemampuannya untuk mengelirukan pihak lawan sememangnya menjadi satu ancaman yang pasti didahagakan, terutamanya dengan format baharu liga yang lebih mencabar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram