MASA depan Petaling Jaya (PJ) City FC akhirnya disahkan apabila presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan pasukan itu tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan.
Perkhabaran itu pastinya mendapat perhatian kelab-kelab Liga Malaysia, lebih-lebih lagi PJ City FC mempunyai barisan pemain tempatan berkualiti di setiap posisi.
Penyerang prolifik The Phoenix, Darren Lok antara yang 'laku keras' dalam jualan borong pasukan yang dibarisi sepenuhnya pemain lokal atau tempatan itu.
Selain Sabah FC, Perak FC juga dikhabarkan sedang dalam usaha untuk memancing beberapa tonggak pasukan seperti Ruventhiran, S Chandran dan Raffi Nagoorgani.
Pemain pertahanan veteran, Mahali Jasuli pula dikatakan sudah semakin hampir untuk menyertai anak-anak buah K Devan di Negeri Sembilan FC dalam usaha pasukan itu meneruskan rentak mereka musim depan.
PJ City FC dibarisi 100 peratus pemain-pemain lokal atau tempatan. — Facebook
Terbaharu, bukan nama Mahali sahaja yang dipetik, malah terdapat lima lagi nama pemain PJ City FC yang dikaitkan dengan skuad Hobin Jang Hobin.
Pemerhati sukan, T. Aniveshwaran melalui ciapan di Twitter pada Ahad berkata, difahamkan Negeri Sembilan FC juga sedang berusaha untuk menyerbu 'jualan borong' PJ City.
"Pemain yang berada dalam radar ialah Filemon Anyie Standly, R. Aroon Kumar, R. Barath Kumar dan Zainal Abidin Jamil.
"Nampaknya Negeri Sembilan juga berminat untuk mendapatkan R. Kogileswaran. Mungkin ada perebutan perpindahan untuk pemain PJ City itu memandangkan Perak FC dan Penang FC menunjukkan minat sama," katanya.
Aksi Darren Lok ketika perlawanan menentang JDT dalam aksi Piala Malaysia. — Facebook
Pengunduran PJ City FC daripada Liga Malaysia bukanlah disebabkan berkaitan masalah kewangan sepertimana tanggapan ramai.
Subahan dilaporkan berkata, keputusan berat itu diambil kerana kelab mendapati sukar untuk bersaing dan menyesuaikan diri dengan penstrukturan baru Liga Malaysia yang dibuat Malaysian Football League musim depan.
“Tahun depan cuaca (senario) bola sepak negara tidak bersesuaian dengan kelab atau pengurusan nak buat. Bayangkan pada musim ini kalau lima import pun kami sudah bergelut, inikan pula untuk musim depan yang mana bilangannya akan bertambah," katanya ketika menjelaskan pengunduran PJ City menerusi satu sidang media khas pada Jumaat.
The Phoenix musim lalu berjaya mengukuhkan kedudukan mereka antara pasukan konsisten dalam liga apabila menamatkan saingan di tangga kesembilan.
Negeri Sembilan FC pula menamatkan saingan Liga Super dengan cemerlang selepas berjaya meletakkan diri di kedudukan keempat carta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram