JOHOR Darul Takzim (JDT) bergelut untuk membawa bekalan bagi aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Likas, Sabah pada Selasa.
Jaringan penyerang muda, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-34 sudah cukup buat pasukan kendalian Hector Bidoglio itu untuk menarik nafas lega selepas satu pertembungan yang hangat.
Selain beberapa insiden pertikaman lidah, perlawanan itu turut menyaksikan lebih daripada 10 layangan kad kuning daripada pengadil, Razlan Joffri Ali.
Tidak cukup dengan itu, pertahanan berpotensi JDT, Feroz Baharudin juga diarahkan untuk keluar dari padang pada minit ke-73 selepas menerima kad kuning kedua.
Perkara itu jelas membangkitkan amarah penyokong Harimau Selatan yang berasakan bentesan daripada pemain berusia 22 tahun itu tidak melanggar apa-apa peraturan permainan.
Namun, insiden yang hangat dibincangkan antara kedua-dua penyokong adalah tindakan pemain veteran skuad Sang Badak, Amri Yahyah pada awal babak kedua permainan.
Amri didapati merosakkan kawasan penalti bagi menggagalkan percubaan pemain JDT.
Selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan pelawat, berlaku sedikit ketegangan dan perbincangan antara pemain sehingga terpaksa dileraikan.
Menyedari kekecohan itu, Amri dengan licik merosakkan kawasan penalti pasukannya, namun disedari pengadil yang tidak teragak-agak untuk melayangkan kad kuning kepadanya.
Keputusan itu semestinya sukar untuk diterima pemain berusia 41 tahun terbabit yang kemudiannya meluahkan rasa tidak puas hatinya sebelum ditenangkan rakan sepasukan.
Bagaimanapun, 'taktikal' itu seperti membuahkan hasil selepas penyerang JDT, Bergson da Silva gagal untuk menyempurnakan sepakan tersebut dengan diselamatkan penjaga gawang Sabah FC, Damien Lim.
Oleh itu, tinjauan Majoriti di media sosial mendapati rata-rata peminat tegar Harimau Selatan membanjiri ruangan komen dengan terus mengkritik Amri.
"Sebelum ini, kau (Amri) cukup dihormati dan disanjung dengan jasa-jasa ketika bermain bersama JDT, tetapi selepas ini, maaflah kerana kau mempamerkan sikap paling buruk atas padang," kata Rahman Yusof.
"Malunya tengok sikap Wak Am macam ni, sudah terima kad kuning pun tidak boleh terima. Lagi nak tunjuk hero kepada penyokong sendiri," kata Yatimah Abu Nain.
"Betul tu, dia sebelum ini kita hormat dan sayang satu ketika dahulu. Tetapi, disebabkan contoh yang ditunjukkan pada malam ini, lebih baik sekiranya dia bersara," kata Fadilah Awang Bob.
Amri pernah menyarung jersi Harimau Selatan buat beberapa musim.
Amri sebelum ini pernah beraksi bersama skuad Harimau Selatan selama hampir tiga musim dengan menjaringkan beberapa gol penting, termasuk ketika separuh akhir Piala AFC 2015.
Selain itu, dia juga merupakan antara pemain terbaik yang dimiliki pasukan tersebut sebelum akhirnya berkelana ke beberapa pasukan Liga Malaysia, termasuk Melaka United dan Selangor FC.
JDT selepas ini bakal menerima kunjungan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Ahad dalam usaha melangkah ke peringkat akhir Piala Malaysia kali kedua berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram