MENJELANG musim baharu, Kedah Darul Aman (KDA FC) sudah mengumumkan tidak memperbaharui kontrak lima pemain import iaitu Ronald Ngah Wanja, Mahmoud Al-Mardi, Sanrawat Dechmitr, Dechi Marcel Nguessan dan Marc Vales.
Pengurusan kelab Sang Kenari itu bagaimanapun belum memuktamadkan barisan pemain tempatan untuk memperkuatkan pasukan menjelang tirai domestik baharu tahun depan.
Beberapa nama sudah berlegar-legar namun tentunya kepulangan legenda bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar paling dinanti-nanti meskipun perpindahan itu sekadar khabar angin buat masa ini.
Dalam kemeriahan saingan Piala Malaysia yang sudah memasuki aksi separuh akhir, nama Baddrol yang berkelana di Sabah sekali lagi menjadi sebutan dalam kalangan penyokong bola sepak.
Baddrol dikatakan akan pulang bermain bersama KDA FC semula. — Facebook
Ini selepas ada penyokong yang mengaitkan Baddrol dengan susuk tubuh seorang pemain dalam sekeping gambar yang dimuat naik laman rasmi Kedah Darul Aman FC pada Isnin.
Gambar dengan kapsyen ringkas 'When November ends...' itu mendapat perhatian apabila ruangan komen dipenuhi dengan reaksi penyokong yang berteka-teki tentang siapakah individu di sebalik susuk tubuh tersebut.
Seorang penyokong Kedah, Hafizz Iliyas berasakan bentuk tubuh individu itu kelihatan seperti Baddrol.
"Macam Badd jaa bentuk belakang tu," katanya, manakala Mohd Amirul menulis, "Welcome back (selamat kembali) BB7."
"BB7 is back!," kata Soleh LC pula.
"Ni comfirm Baddrol," tulis Munzir Jpbo.
Baddrol bakal mengetuai pasukan menghadapi JDT dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia. — Facebook
Rosli Saad juga berpendapat bayang gaya pemain itu seperti Baddrol.
"Gaya macam kapitan (kapten) kita tu..BB7..InsyaALLAH," tulisnya.
"Macam jeneral (Baddrol) ja," ujar Shaifullah Shafie.
Bekas kapten Kedah itu dianggap sebagai jeneral padang buat Kedah kerana melakukan paling banyak hantaran untuk menghasilkan gol buat skuad Lang Merah pada saingan Liga Malaysia musim 2019.
Malah pengaruhnya dalam skuad bukan lagi rahsia kerana kemampuannya memimpin rakan sepasukan di atas padang.
Dalam pada itu, ada penyokong yang berpendapat individu itu mungkin penjaga gol baharu kerana memakai sarung tangan dan memegang bola.
Mazz Betta meninggalkan komen, "Kalau dah pegang bola ni sah keeper."
Kalamullah sebelum ini beraksi dengan PJ City FC. — Facebook
Scha Ismail berasakan mungkin susuk tubuh itu milik penjaga gol PJ City FC yang merupakan antara pemain dikaitkan dengan Kedah selepas kelab tersebut mengesahkan tidak bertanding dalam Liga Super musim depan.
"Goalkeeper PJ City FC...tinggi badan macam dia," katanya.
"Tengok gaya macam Kalamullah....kita tunggu nanti," ujar Haziq Haikal.
Mungkin telahan penyokong benar kerana Baddrol dikhabarkan akan kekal di Sabah FC untuk satu musim lagi.
"Terdapat khabar angin di media sosial mengaitkan perancang tengah Sabah FC dengan kelab lamanya. Jangkaan mengatakan dia masih terus kekal bersama Sabah FC," tulis laman Malayantigerfans baru-baru ini.
Baddrol akan berdepan misi penting membawa Sabah FC berdepan skuad Johor Darul Takzim (JDT) selepas kedua-duanya mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram