'Import ke lokal?', soalan Zamsaham cetus rasa tidak senang duduk


  • Podium
  • Rabu, 16 Nov 2022

Norizam Tukiman terus membuatkan penyokong berteka-teki mengenai jurulatih untuk musim depan. — Facebook/TRW Kelantan FC

MASA depan mengenai ketua jurulatih baharu Kelantan FC masih tidak terjawab selepas pihak pengurusan pasukan Pantai Timur itu masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Perkara itu adalah berikutan status lesen kejurulatihan pengendali, Rezal Zambery Yahya yang difahamkan tidak mempunyai lesen Pro A seperti ditetapkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Jurulatih muda itu dilihat sebagai prospek cerah buat bola sepak tempatan selepas dia berjaya menyuntik perubahan kepada skuad The Red Warriors (TRW) sehingga mampu menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua.

Jadi, selepas disingkirkan daripada kancah Piala Malaysia di tangan Johor Darul Takzim (JDT), mereka pasti akan melakukan perancangan rapi dengan musim depan dijangka memberi lebih banyak cabaran.

315203740_8291907174213050_5694833297095402593_n

Rezal Zambery bakal meninggalkan TRW musim depan. Facebook/TRW Kelantan FC

Baru-baru ini, timbul khabar angin yang mengatakan bekas pengendali Johor FC, Azuan Zain bakal dibawa masuk untuk menyuntik pengalamannya ke dalam pasukan itu.

Namun, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang juga dikenali sebagai Zamsaham, masih berdiam diri akan perkara itu, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan dalam kalangan penyokong.

Tidak cukup dengan itu, dia juga membuat satu hantaran di media sosial yang seakan-akan cuba mendapatkan pandangan ramai mengenai hala tuju juara Liga Super 2012 itu.

"Nak pakai coach mana? Import ke lokal?" tulisnya ringkas di laman Facebook peribadinya pada Rabu.

Ia jelas menerima pelbagai respons daripada peminat setia TRW yang sepertinya tidak segan untuk melontarkan pandangan mereka demi masa depan kelab berkenaan.

Berdasarkan tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata daripada penyokong lebih berminat untuk mendapatkan sentuhan jurulatih tempatan yang dirasakan mempunyai pengetahuan mendalam akan selok-belok landskap bola sepak tanah air.

314103395_8264952193575215_5151508921553940269_n

Penyokong Kelantan FC lebih berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih tempatan. Facebook/TRW Kelantan FC

"Lokal pun sebenarnya bagus juga, Zamsaham. Tetapi, latar belakang dan pencapaiannya juga perlu dilihat. Kalau boleh, beri peluang kepada mereka yang tidak pernah bimbing Kelantan FC," kata Pauzi Hussin.

"Saya lebih suka yang tempatan kerana bajet pasukan boleh dilaburkan kepada mereka yang lebih berkualiti dan sekiranya ada lebihan, mungkin boleh digunakan untuk membaiki padang," kata Shahrunnizam Majid.

"Ambil jurulatih tempatan yang berpengalaman kerana lebih jimat. Tetapi, apa sekalipun, selesaikan dahulu perihal jurulatih baru berfikir mengenai pemain," kata M Masudi M Shafie.

Jurulatih luar bukanlah satu perkara yang asing buat Kelantan FC selepas mereka pernah dibimbing beberapa nama import, seperti Bojan Hodak yang sememangnya terkenal dalam kalangan penyokong.

Bagaimanapun, selepas hampir lima musim beraksi di divisyen kedua Liga Malaysia, kepulangan Kelantan FC pasti memerlukan pelbagai perubahan dari segi pemain dan pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram