Perlekeh niat Annuar Musa bantu TRW: Bekas pemain, penyokong 'bertikam lidah'


  • Podium
  • Selasa, 15 Nov 2022

Annuar (tengah) sebelum ini menawarkan diri membantu pembangunan bola sepak Kelantan musim depan. — Kelantan_pride_and_soul/Instagram

SENARIO kebiasaan pada musim pilihan raya, ahli politik menaburkan janji-janji manis dengan menawarkan diri sebagai 'penyelamat' kepada setiap masalah berbangkit.

Baru-baru ini, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menawarkan diri untuk membantu pasukan bola sepak negeri Kelantan musim depan.

Annuar menjelaskan beliau sedia membantu pasukan negeri itu yang kini mempunyai dua pasukan bola sepak iaitu Kelantan FC dan Kelantan United.

Menurut bekas Setiausaha Agung Umno itu, kesediaannya untuk membantu merangkumi soal kewangan mahupun pentadbiran pasukan bagi bersaing di perlawanan Liga Super musim depan.

Tangkap layar muat naik Rizal yang mencetuskan 'pertikaman lidah' di media sosial.

Setakat ini, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman menyambut baik hasrat Annuar dan bersedia mengadakan perjumpaan di Kelantan ataupun di Kuala Lumpur.

'Kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan' merupakan ungkapan tepat bagi menggambarkan keterbukaan Norizam untuk menerima bantuan Annuar bagi menyelesaikan hutang KAFA berjumlah RM3.93 juta.

Namun, bekas pemain The Red Warriors (TRW) yang kini jurulatih akademi futsal, Rizal Fahmi menyelar niat Annuar itu menerusi ruang Instagram Story miliknya.

"Selesaikan hal tanah dulu, barulah boleh sembang nak tolong KAFA," tulisnya bersama sekeping gambar Annuar bersama penyokong The Red Warriors (TRW).

Kenyataannya itu memecahkan kem penyokong Kelantan FC apabila sesetengah penyokong bersetuju dengannya manakala sesetengah lagi memerli bekas pemain itu yang dikatakan hanya 'berkokok' di media sosial.

Rizal dilihat ada bersama Annuar dalam majlis meraikan TRW Treble. —Facebook

Menerusi ruang Facebook, penyokong TRW, Shaiful Mohamad mempersoalkan tindakan Rizal yang tidak mengutarakan isu tersebut ketika bersama Annuar pada satu majlis baru-baru ini.

"Tiga hari lepas nampak duduk sekali buat majlis meraikan TRW Treble. Tak akan dekat depan-depan tak ada bunyi. Dalam media sosial, 'bergegar' selalu. Sepatutnya berterus teranglah," katanya.

Irfan Haniff pula menyambung: "Kenapa tak bidas depan muka Tan Sri Annuar masa jumpa di majlis baru-baru ini. Penat juga," katanya.

Melihat kepada reaksi itu, Rizal membidas di bahagian komen: "Weh geng kuat kritik, kalau berani berdebatlah dengan aku. Aku tanya dia kata tak boleh beri tanah sebab habis duit buat bayar hutang KAFA. Pasal tu aku upload kat IG macam itu.

"Kalau tak tahu cerita, jangan nak cakap. Kita ni orang Islam, perlu guna cara betul nak kritik pun," tulisnya.

Tangkap layar perbalahan antara peminat dan bekas pemain berhubung tawaran Annuar.

Tidak cukup di bahagian komen, Rizal turut menyambung dengan muat naik status di bahagian Facebooknya dengan kenyataan sama dalam komen tersebut.

Sebagai rekod, Rizal Fahmi pernah beraksi bersama Kelantan dari 2006 hingga 2012 dan kemudian berhijrah menyertai Selangor dari 2013 hingga 2017.

Musim 2018, pemain kelahiran Tumpat, Kelantan itu kemudiannya menyarung jersi Negeri Sembilan sebelum meneruskan kariernya sebagai pemain Selangor United pada 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram