KEHADIRAN pemilik baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar dilihat mampu mengubah nasib pasukan itu menjelang tirai domestik baharu tahun depan selepas satu musim yang mengecewakan.
Penghijrahan keluar beberapa tonggak pasukan seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali sebelum permulaan musim ini seakan-akan memberi isyarat bahawa skuad Sang Kenari bakal berdepan pelbagai masalah.
Ia pada awalnya dilihat dengan prestasi tidak menentu di permulaan musim dengan dua kekalahan dalam lima aksi Liga Super sehingga menyebabkan penyokong mula tertanya-tanya akan kemampuan pasukan itu.
Tidak cukup dengan itu, penyingkiran di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC mula menerima kritikan hebat selepas wakil Indonesia, PSM Makassar memalukan mereka meskipun tempang dengan sembilan pemain.
Prestasi tidak menentu itu berterusan ke penghujung musim dengan skuad Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan seepas hanya berjaya membawa pulang 27 mata daripada 22 perlawanan.
Daud Bakar berdepan cabaran besar sebagai pemilik baharu KDA FC. — Facebook/Kedah FA
Oleh itu, penyokong pasti mahu episod gelap itu berjaya ditamatkan secepat mungkin, lebih-lebih lagi apabila pasukan utara tanah air bakal menerima suntikan dari segi kewangan.
Selain berharap terdapat lantikan ketua jurulatih baharu yang lebih berkaliber, penyokong juga berhasrat untuk melihat rombakan secara besar-besaran terhadap skuad itu.
Namun, dengan masa depan Sang Kenari masih belum dimuktamadkan, pihak pengurusan pasti tidak mahu membuat pelaburan secara besar-besaran sehingga memberi tekanan hebat terhadap struktur kewangan mereka.
Tetapi, ia bukanlah satu alasan kepada pasukan untuk tidak melakukan sebarang perubahan dengan mencari wajah-wajah baharu ketika jendela perpindahan akan datang.
Selain perlu mendapatkan penyerang yang berkualiti, KDA FC juga perlu mencari jalan untuk memperkukuhkan lagi tembok pertahanan mereka apabila dibolosi sebanyak 41 kali musim ini.
Berikut merupakan antara pemain yang perlu dibawa masuk sekiranya skuad Sang Kenari berharap untuk menghalang prestasi tidak menentu pasukan berulang musim depan.
1. Nik Mohd Amin Ahmad (Kelantan FC)
Musim ini, Kelantan berjaya menepati ramalan selepas melayakkan diri ke Liga Super secara merit apabila menamatkan siangan Liga Perdana di tangga kedua.
Walaupun gagal untuk memperolehi trofi keramat itu, penyokong The Red Warriors (TRW) pastinya bergembira akan pencapaian itu selepas hampir empat musim berada di liga bawahan.
Namun, pemilik pasukan, Norizam Tukiman pastinya berhasrat untuk menambah baik kualiti skuad apabila mereka bakal berdepan cabaran lebih besar selepas ini.
Antara posisi yang pasti mahu ditambah baik ialah penjaga gol meskipun mereka hanya dibolosi sebanyak 14 kali dalam 18 perlawanan serta merekodkan lapan 'clean sheets'.
Prestasi Nik Amin menarik perhatian banyak pihak Liga Malaysia. — Facebook/TRW Kelantan FC
Perkara itu adalah kerana penjaga gawang utama, Nik Mohd Amin Ahmad sukar untuk berdepan pasukan Liga Super yang sudah dibuktikan dalam Piala Malaysia.
Selepas tiga perlawanan, pemain itu dibolosi sebanyak empat kali, dengan tiga daripadanya berpunca ketika pertemuan suku akhir bersama Johor Darul Takzim (JDT).
Oleh itu, masa depan Nik Amin dalam pasukan pastinya samar-samar dan ia merupakan satu peluang keemasan buat KDA FC sekiranya mereka mahu menambah baik kualiti penjaga gol mereka.
Kecederaan yang dialami Ifwat Akmal Chek Kassim dan usia Shahril Saa'ri pasti mendesak pihak pengurusan untuk mendapatkan seseorang yang lebih baik.
Ciri-ciri itu dilihat mampu dipenuhi penjaga gol Kelantan FC itu apabila dia masih mampu mengembangkan bakatnya melihat kepada usianya yang baru sahaja mencecah 25 tahun.
2. Irfan Zakaria (KL City FC)
Kejayaan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk melangkah ke pentas final Piala AFC mencuri tumpuan penyokong bola sepak tempatan selepas ia berjaya membawa kualiti bola sepak tempatan ke tahap lebih tinggi.
Ketua jurulatih, Bojan Hodak dilihat menerima pujian orang ramai selepas dia bijak mengatur pendekatan taktikal dengan menurunkan pemain terbaik.
Selain bijak mengenal pasti kelebihan dan kelemahan setiap pemain, Hodak juga dikatakan mampu menambah baik kebolehan anak-anak buahnya seperti yang dilihat dalam skuad Warga Kota.
Seorang pemain, Irfan Zakaria dikatakan antara pemain yang berjaya meningkatkan kebolehan dan reputasinya sejak menyertai pasukan tersebut pada jendela perpindahan hujung tahun lalu.
Irfan mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan KDA FC. — Instagram/irfanzakaria
Perkara itu dilihat apabila penyokong beberapa pasukan Liga Malaysia mula meluahkan minat mereka terhadap Irfan dengan peminat setia Hijau Kuning merupakan antara yang menghendaki pertahanan itu.
Ketinggiannya yang mencecah 1.82m itu merupakan satu kelebihan apabila dia mudah memintas hantaran lintang lawan sebelum menjadi ancaman kepada kubunya.
Musim ini, gandingannya bersama pertahanan import, Giancarlo Gallifuoco dilihat sebagai antara sebab pasukan itu berjaya meneruskan prestasi mereka daripada tahun lalu.
Jadi, sekiranya KDA FC berhasrat untuk menambah baik kemampuan benteng mereka, kehadiran Irfan mampu membawa perubahan dengan menggantikan pertahanan import mereka, Dechi Marcel.
Bagaimanapun, hasrat tersebut pasti sukar untuk direalisasikan dengan Irfan jarang mendapat kepercayaan dan minit permainan ketika menghabiskan satu musim bersama skuad Sang Kenari pada 2021.
3. Safawi Rasid
Setelah hampir bermusim-musim dijulang sebagai ayam tambatan JDT, tempat pemain sayap, Safawi Rasid dalam kesebelasan utama pasukan semakin tercabar dengan kehadiran bintang muda, Arif Aiman Hanapi.
Perkara itu bagaimanapun tidak menjejaskan kemampuannya setakat ini apabila ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih memberi peluang kepadanya untuk aksi antarabangsa.
Selain itu, sumbangannya dalam pasukan juga tidak merosot apabila dia berjaya mengumpul dua gol dan tiga hantaran dalam 13 aksi Liga Super, dengan kebanyakan daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Oleh itu, Safawi dilihat sebagai seorang pemain yang boleh dibawa masuk bagi meningkatkan kemampuan jentera serangan dengan kemampuannya untuk mengambil sepakan percuma.
Khidmat Safawi kurang ditagih JDT musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Antara destinasi yang ketika ini sesuai untuk pemain berusia 25 tahun itu ialah KDA FC dengan ketandusan pilihan di posisi sayap sehingga menyukarkan barisan kejurulatihan dalam setiap perlawanan.
Prestasi tidak menentu Al-Hafiz Harun serta pengalaman cetek pemain muda, Fayadh Zulkifli serba sedikit menyukarkan skuad Sang Kenari untuk menjaringkan gol.
Masalah itu dibuktikan apabila mereka hanya berjaya mengumpul 32 gol dalam liga selain sedikit tumpul ketika kejohanan yang disertai, terutamanya Piala AFC.
Kehadiran Safawi dilihat mampu memperbaiki isu tersebut dengan kemampuannya untuk melakukan hantaran lintang selain mencari ruang yang ditinggalkan benteng pertahanan.
4. Tchetche Kipre
Awal musim lalu, pelbagai luahan di media sosial daripada penyokong Terengganu FC yang memaksa pihak pengurusan menyingkirkan penyerang import, Tchetche Kipre.
Selepas menyertai skuad Sang Penyu ketika jendela perpindahan pada Disember 2021, dia hanya mampu menjaringkan satu gol dalam lima aksi Liga Super.
Pergelutan di hadapan pintu gol jelas merugikan pasukan Pantai Timur itu apabila mereka dilihat sukar untuk menamatkan saingan di tangga lima teratas.
Sumbangan Kipre masih tidak berjaya mencuri hati penyokong Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, Kipre berjaya menepis segala cacian yang dilontarkan kepadanya selepas muncul sebagai penjaring kedua terbanyak dengan 13 gol dalam 14 perlawanan.
Pencapaian itu dikuatkan lagi dengan jaringan tunggal yang dihasilkan dalam pentas akhir Piala FA, apabila anak-anak buah Nafuzi tumpas di tangan JDT.
Reputasinya itu bagaimanapun masih tidak menerima pujian setimpal daripada penyokong Terengganu FC yang berasakan usianya bakal menyekat kelincahan dan kemampuannya di hadapan pintu gol kelak.
Jadi, KDA FC perlu menghidu peluang itu untuk membawa pulang penyerang kelahiran Ivory Coast selepas pernah beraksi bersama mereka buat dua musim, iaitu pada 2020 dan 2021.
Sumbangannya ketika bersama skuad Sang Kenari juga tidak kurang hebatnya apabila dia berjaya mengumpul sebanyak 17 gol dalam membantu pasukan itu melayakkan diri ke pentas Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram