Tolak DNA Johor, penyokong TRW lagi suka orang kuat Perak, Selangor jadi 'coach'


  • Podium
  • Khamis, 10 Nov 2022

Beberapa nama jurulatih mulai dikaitkan dengan Kelantan FC musim depan. — Facebook/Kelantan FC

PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman pada awal November ini menyatakan bahawa terdapat empat orang jurulatih sudah menyatakan hasrat mereka untuk membimbing The Red Warriors (TRW) pada musim depan.

Menurut Norizam atau turut dikenali sebagai Zamsaham bahawa calon-calon pengendali pasukan itu ada di antaranya merupakan bekas ketua jurulatih kelab.

Usahawan itu juga mengatakan bahawa calon-calon yang berminat mengemudi Kelantan itu sudah menghantar resume masing-masing dan dijangka pengumuman jurulatih baharu itu akan diberitahu pada minggu pertama Januari tahun depan.

Selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Norizam, beberapa nama jurulatih mulai dikaitkan dengan kelab berpangkalan di Pantai Timur itu dan bekas jurulatih Johor FC, Mohd Azuan Zain menjadi nama yang meniti di bibir penyokong.

Bekas pemain era 80-an mempunyai pengalaman luas melatih beberapa pasukan Liga Super serta Liga Perdana dan antaranya ialah Johor FC (2011) Felda United (2013) dan UiTM FC pada musim 2013-2014.

Screenshot 2022-11-10 at 1.49.03 PM

Azuan Zain disebut-sebut antara individu yang bakal melatih TRW. — Agensi

Meskipun mempunyai pengalaman mengemudi beberapa kelab, penyokong TRW tidak merestui jika jurulatih kelahiran Johor itu mengendali pasukan Kelantan.

“Bekas Johor FC juga. Faham-faham sajalah. Dulu Johor FC pun tak sehebat mana, ermmmm,” komen penyokong TRW, Mohd Syafiq.

“Hmmm cukup setakat tangkap muat. Asalkan ada lesen Pro A,” kata penyokong Kelantan, Mohammad Amir MS.

“Jurulatih yang tiada nama dan tak pernah bimbing kelab kelas A. Jawabnya satu tahun saja bertahan dalam Liga Super selepas itu turun balik ke Liga Perdana,” komen Rosdi Muhammad.

Pada masa sama, penyokong TRW dilihat lebih cenderung memilih penolong jurulatih Selangor, Mohd Nidzam Jamil dan ketua jurulatih bagi skuad bawah 23 tahun (B-23), Yusri Che Lah untuk mengemudi Kelantan pada musim depan.

Sekiranya Azuan Zain bakal ke Kota Bharu, dia akan menggantikan Rezal Zambery Yahya yang terpaksa melepaskan jawatan itu kerana tidak memiliki lesen kejurulatihan Pro A.

Lesen itu merupakan piawaian yang ditetapkan perbadanan Malaysian Football League (MFL) bagi melayakkan seseorang jurulatih mengemudi kelab Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram