Imbauan skuad emas 'double treble', Azraai Khor dedah cara cari pemain


  • Podium
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Kejayaan Kedah pada dua musim itu, Sang Kenari mendominasi hampir keseluruhan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus 2008.

SIAPA yang boleh melupakan kejayaan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang memenangi tiga trofi dalam semusim selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008, sekali gus menerima jolokan ‘double treble’.

Sentuhan di bawah kendalian ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah, mencipta rekod paling cemerlang apabila melengkapkan koleksi tiga gelaran iaitu Juara Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia selama dua tahun.

Kejayaan Sang Kenari ketika itu menjadi memori terindah buat penyokong tegar The Red Eagle dan rata-ratanya berharap agar zaman kegemilangan Kedah dapat diulangi semula.

Susulan kejayaan pasukan Hijau Kuning itu, Azraai Khor turut dinobatkan sebagai jurulatih terbaik pada dua musim berturut-turut.

Bukan sahaja Azraai Khor, malah pemain dari skuad emas itu juga merupakan tulang belakang dalam mencapai kejayaan berkenaan.

Kehadiran tonggak pasukan yang dibarisi pemain tempatan seperti Mohd Hasmawi Hassan, tonggak pertahanan, Hasmizan Kamarodin dan kapten, Victor Andrag.

“Kita nampak dengan perancangan yang rapi kami telah berjaya menaikkan pemain-pemain muda daripada skuad pelapis dan sebagainya,” katanya.

“Kebetulan pula masa tu, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) wajibkan tiap-tiap pasukan kena daftar bawah umur, bawah 21 (tahun) dan sekian-sekian pemain. Tahun 2007 kita dapat apa yang saya rancang,” katanya.

AZRAAI

Azraai Khor dinobatkan sebagai jurulatih terbaik liga pada musim pada dua musim berturut-turut.

Keputusan yang dilakukan Azraai Khor cukup memuaskan hati pihak pengurusan dan penyokong kerana skuad Sang Kenari berjaya menduduki tempat pertama dalam Liga Super pada sesi 2006-2007 dan 2007-2008.

Jurulatih kelahiran negeri Jelapang Padi itu berjaya membuktikan bahawa pemain muda tempatan yang diterapkan dalam pasukan sebenarnya mampu memberi kesan posiif jika mendapat latihan yang bersesuaian.

Selain penyerapan beberapa pemain muda, Kedah juga mengambil pendekatan dengan membawa masuk beberapa tonggak import, termasuk penyerang, Marlon Alex James dan Nelson San Martin serta Cornelius Bernard Huggins.

Pemain-pemain import berkualiti itu merupakan antara penyumbang besar di sebalik kejayaan bersejarah Sang Kenari itu.

“Satu penyerang tu, saya begitu tertarik dengan corak permainan dia, di situ kita nampak dah, ini kalau partner kita punya Hasmawi Hasan ini, ini mantap ni.

“Nelson Sam Martin pula, waktu perlawanan kedua, mereka letak dia separuh masa kedua. Selepas dua tiga hantaran, saya tengok Radhi Mat Din, Radhi Mat Din tengok saya, bagitahu kepada dia, itu Datuk, tengok dia punya hantaran.

“Di situlah, saya tanya dia punya ejen, boleh tak kita nak kekalkan dia untuk latihan berskala besar. Yang lain semua kita tolak.

"Dia punya ejen kata okay, kita putuskan nak, kita sign dia,” katanya dalam satu sesi wawancara bersama MFL.

KEDAH

Barisan kesebelasan utama Kedah pada musim 'double treble'.

Bagi penyokong Kedah FA, kehadiran Marlon Alex James yang mengetuai jentera serangan sememangnya dirindui selepas dia menjaringkan 20 gol pada 2007 sementara 23 lagi diperolehi pada musim berikutnya.

Pemain kelahiran Saint Vincent and Grenadines itu kemudiannya berhjirah ke Amerika Syarikat untuk menyertai Vancouver Whitecaps selepas FAM memutuskan untuk menutup kuota pemain import pada 2008.

Bagi San Martin pula, kemampuannya untuk mengawal gerak geri pasukan membawa perubahan apabila dia berjaya melakukan hantaran berkualiti kepada rakan sepasukan.

Rakan senegara James, Cornelius Bernard Huggins pula merupakan watak penting dalam menjaga kubu pertahanan Kedah dari musim 2004 sehingga 2008.

“Kehadiran Marlon ketika itu Cornelius Bernard Huggins dah berada dalam pasukan. Kita tengok dia punya kombinasi dengan Victor (Victor Andrag) itu memang tiptop,” tambahnya.

Sejak zaman kegemilangan itu, Kelantan FA pada 2012 merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mengulangi kejayaan treble ketika Bojan Hodak membimbing The Red Warriors (TRW). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram