Dilabel 'spoiler', De Paula bikin fans bengang sepak penalti pun sangkut, 'elok bersara sajalah'


  • Podium
  • Ahad, 13 Nov 2022

De Paula tumpul di bahagian serangan selepas gagal menyudahkan penalti untuk meletakkan JDT di depan ketika aksi persahabatan menentang Persis Solo. — Facebook / Johor Southern Tigers 

PERLAWANAN pemanas badan antarabangsa melibatkan Johor Darul Takzim (JDT) dan pasukan dari Indonesia, Persis Solo di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor berkesudahan dengan terikat seri 1-1.

JDT memperoleh jaringan menerusi sepakan percuma hasil rembatan tonggak tengah, Moussa Sidibé pada minit ke-29 menjadikan kedudukan 1-0 memihak kepada skuad Harimau Selatan.

Usaha keras Persis Solo akhirnya menemui titik penemuan menerusi gol cetakan penyerangnya yang juga bekas pemain JDT, Fernando Rodríguez pada minit ke-71 menjadikan kedudukan 1-1.

Selang seminit kemudian, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas Mohamadou Sumareh namun peluang memperoleh gol mudah itu tidak dimanfaatkan Guilherme De Paula yang gagal menyudahkan penalti berkenaan.

Hal itu membuatkan penyokong Harimau Selatan kecewa kerana sudah tentunya satu persembahan yang cemerlang diharapkan daripada De Paula sebagai penggempur utama pasukan.

Penyokong JDT, Putra Cha'zfizie Hyc menganggap De Paula mensia-siakan kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih Hector Bidoglio yang semakin mendapat tempat di hati peminat berikutan kecenderungan menurunkan pemain berbeza secara penggiliran.

Pemain naturalisasi itu juga dirasakan tidak memberikan persembahan bertenaga serta menyakinkan walaupun pernah dipanggil membarisi skuad kebangsaan.

"Sebenarnya aku amat-amat harap De Paula dapat skor malam ni lagi-lagi dah dapat penalti untuk fans JDT. Dan Harimau Malaya bagi peluang serta kepercayaan kepada dia setelah lama simpan kuku.

"Tapi sayang, dia sia-siakan peluang yang terhidang tu...penalti je tu De Paula, tinggal skor je," luahnya kesal di ruang komen laman penyokong JOHORean Sport Team.

313434039_2440594569437161_3063741346188801190_n

De Paula mula hilang tempat di hati peminat bola sepak selepas aksi longlai bersama skuad Harimau Malaya musim ini. — Facebook / Johor Southern Tigers

Ruddinbacneto Snr meninggalkan komen memerli cara De Paula mengambil sepakan penalti itu.

"Jarak amik sepakan mengerikan...macam berapi ibarat komet bola tu pergi, tapi apakan daya...inilah dinamakan pola kehidupan bola sepak," tulisnya.

"Ambil penalti acah superstar, hmmm tapi... elok dia bersara sajalah," ujar Kimi Lan.

Tambah Md Fuad Haji Ahamad, "De Paula spoiler...ambik step punyalah jauh, tendang penalti pun tak masuk...malas pressing kejar bola...nasib baik kena dikeluarkan."

"Paula punca, penalti pun sangkut," kata Muiz Musa.

De Paula mula hilang tempat di hati peminat bola sepak tanah air, begitu juga dengan penyokong JDT selepas aksi longlai bersama skuad Harimau Malaya musim ini.

Pemain berusia 36 tahun dari Brazil itu menyertai JDT dari Perak FC pada musim 2021.

De Paula diturunkan ke skuad kedua JDT berikutan kegagalan menyaingi penyerang profilik di skuad senior Harimau Selatan, iaitu Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram