MEMALUKAN dan mengecewakan adalah antara perkataan yang sesuai untuk menggambarkan musim 2022 Penang FC selepas mereka gagal untuk mengulangi kejayaan pasukan tahun lalu.
Selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot, skuad Harimau Kumbang disingkirkan daripada Piala Malaysia di tangan kelab Liga Perdana, Kuching City FC di pusingan awal.
Pertukaran ketua jurulatih pada pertengahan musim gagal untuk mendatangkan sebarang perubahan yang diharapkan meskipun dengan kepulangan figura berpengaruh, Datuk Zainal Abidin Hasan.
Selain itu, kegagalan untuk memperkukuhkan skuad turut dilihat sebagai punca kegoyahan di atas padang apabila pasukan itu hanya berjaya mencatatkan dua kemenangan.
Kegagalan itu jelas menerima kritikan pedas daripada orang ramai, terutamanya penyokong Penang FC yang pada awalnya tidak henti-henti memberi sokongan kepada pemain dan pasukan.
Lucas berjaya muncul sebagai pemain terbaik buat Harimau Kumbang musim ini. — Facebook/Penang FC
Bagaimanapun, satu perkara yang berjaya menenangkan hati mereka adalah kehadiran penyerang import, Lucas Silva selepas sumbangannya serba sedikit menambah baik kualiti pasukan.
Pemain berusia 32 tahun itu dibawa masuk ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia Jun lalu dalam usaha pasukan menajamkan lagi jentera serangan mereka.
Pelaburan itu jelas membuahkan hasil apabila dia menyumbang enam gol dalam 11 perlawanan, dengan salah satunya hadir dalam kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC September lalu.
Oleh itu, dia pastinya diharapkan untuk kekal bersama skuad Harimau Kumbang musim depan, lebih-lebih lagi dengan pasukan itu masih kekal dalam Liga Super.
Namun, khabar angin mula bertiup di media sosial dengan mengatakan kontrak pemain kelahiran Brazil itu tidak akan disambung pihak pengurusan Penang FC.
Sri Pahang dalam usaha mencari gandingan buat Steven Rodriguez. — Facebook/Sri Pahang FC
Ura-ura itu dituruti dengan perkhabaran bahawa satu lagi pasukan Liga Super, Sri Pahang FC yang dikatakan berminat untuk mendapatkan Lucas bagi digandingkan bersama Steven Rodriguez di barisan hadapan.
Berdasarkan pemerhatian di media sosial, Majoriti mendapati khabar angin itu ibarat belati ke hati penyokong-penyokong Penang FC yang mula berang dengan cara pengurusan pasukan tersebut.
"Penang memang cuma tempat untuk pemain singgah dan mengasah bakat sebelum dapat tawaran yang bagus dan berhijrah ke pasukan-pasukan lain," kata Mohamad Zaini.
"Kalau ada sesiapa yang terkejut tu, mesti mereka baru sahaja mengikuti Penang FC. Sememangnya satu adat, apabila ada pemain yang beraksi baik sahaja, pasti dia akan dilepaskan," kata Mifzal Aqil.
Walaupun jendela perpindahan hanya akan dibuka pada pertengahan Disember, ia tidak menghalang khabar angin itu daripada terus menular di media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram