Bukan kerusi mudah, veteran MCA pertahan calon 'heavyweight' Parlimen Raub


  • Politik
  • Khamis, 10 Nov 2022

Yen Yen (lima kiri) dan Sin Woon (empat kanan) ketika sesi bertemu pengundi di Kampung Baru Sempalit pada Rabu.

PEMIMPIN veteran MCA, Tan Sri Dr Ng Yen Yen mempertahankan pencalonan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon untuk kerusi Parlimen Raub.

Bekas Naib Presiden MCA itu turut mempersoalkan sama ada kerusi tersebut mudah untuk ditandingi pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November depan.

Yen Yen yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menafikan dakwaan kononnya Sin Woon adalah calon 'payung terjun' dari Seremban, Negeri Sembilan.

“Pembangkang selalu kata Sin Woon dikitar semula dari Seremban ke Raub sekarang.

"Mereka (pembangkang) fikir Raub kerusi mudah untuk ditandingi? Ia bukan kerusi mudah, sebab itu MCA hantar heavyweight ke sini," katanya ketika sesi bertemu pengundi di Kampung Baru Sempalit di Raub, Pahang pada Rabu (9 November).

Yen Yen yang juga bekas Ahli Parlimen Raub menyifatkan Sin Woon yang memegang jawatan penting dalam parti, akan terlibat secara aktif untuk membantu masyarakat di kawasan tersebut.

"Sin Woon bersuara lantang mengenai isu yang melibatkan rakyat. Kita perlukan pemimpin sepertinya, seorang yang boleh membawa suara rakyat di peringkat kerajaan tempatan dan persekutuan.

"Dia juga seorang pemimpin muda, yang tidak takut untuk jatuh kerana dia akan sentiasa bangkit semula," katanya.

Mengambil kira sokongan daripada perkampungan baharu Cina itu tidak begitu memberangsangkan selama ini, Yen Yen menyeru pengundi untuk menilai gabungan calon yang ingin mereka undi kali ini.

“Sekarang, untuk kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) Tras, kami tampilkan Lim Teck Hoe, yang merupakan anak tempatan dan dikenali masyarakat di situ.

"Dia versatil, berkebolehan dan dia tidak akan mengecewakan orang ramai," katanya.

Tambah Yen Yen, gandingan Teck Hoe dengan calon DUN Dong, yang merupakan pembantu Menteri Besar Pahang, akan memberi manfaat besar kepada rakyat di Raub.

Dong merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Raub selain Tras dan Batu Talam.

Calon DUN Dong, Fadzli Mohamad Kamal (Barisan Nasional) (BN) akan berdepan cabaran empat penjuru menentang Tengku Shah Amir Tengku Perang (Perikatan Nasional) (PN) dan Mohd Abd Jawaad ​​Abd Ghafar @ Ramzin (Pakatan Harapan) (PH).

DUN Batu Talam pula ditandingi Abdul Aziz Mat Kiram (BN), Ahmad Sabri Mat Dui (PN) dan Shahuddin Abdul Rahman (PH).

Sementara itu, Yen Yen menyeru rakyat mengundi untuk masa depan mereka dan bukannya calon.

"Setiap negara mempunyai masalahnya sendiri, inilah masanya kita menjaga keluarga dan menyelesaikan masalah di 'rumah' (kawasan) kita terlebih dahulu," katanya.

"Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan khidmat daripada calon MCA yang muda dan berkebolehan serta bersedia membawa suara rakyat," tambahnya.

Untuk rekod, Sin Woon menghadapi saingan empat penjuru berdepan penyandang DUN Tras, Chow Yu Hui daripada PH, Norkhairul Anuar Mohamed Nor (Parti Pejuang Negara) (GTA) dan Datuk Mohd Fakrunizam Ibrahim (PN) bagi merebut kerusi Parlimen Raub pada PRU15.

Di DUN Tras, Teck Hoe menghadapi pertembungan empat penjuru dengan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (PH), Amirul Mukminin Kuek Abdullah (PN) dan Mohd Tahir Kasim (GTA). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram