Klang dilanda banjir kilat, Sungai Melaka lepasi paras bahaya, Sungai Triang melebihi tahap amaran


  • Massa
  • Rabu, 09 Nov 2022

Kejadian banjir kilat di kawasan Sultanah Aminah Hospital, Johor Bahru, Johor pada Ogos lalu.

HUJAN lebat berterusan mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan di Klang, Selangor pada Rabu.

Beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir kilat termasuk kawasan perumahan di Bandar Botanic, Bandar Puteri dan Taman Sentosa serta sebahagian Lebuhraya Shah Alam (menuju ke Klang).

Di Johor, laman Facebook PublicInfoBanjir melaporkan Sungai Muar di Buloh Kasap melepasi paras amaran 8.84 meter (m) manakala Sungai Muar di Bukit Kepong melebihi tahap waspada 1.84m setakat pukul 8 malam.

Selain itu, Sungai Triang di Pahang pula melepasi paras amaran 34.29m manakala Sungai Melaka di Batu Hampar Peringgit, Melaka melepasi paras bahaya 2.17m setakat 6 petang.

Sementara itu, di Selangor, Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Klang di Kampung Jawa masing-masing melepasi paras waspada dengan 3.52m dan 4.46m.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terdahulu mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan berlaku banjir kilat membabitkan enam daerah di empat negeri.

Menurut notis itu, Pahang, Selangor, Johor dan Sarawak berisiko dilanda banjir berdasarkan ramalan hujan daripada model 'Numerical Weather Prediction' (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia dan sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).

Di Pahang, lokasi yang berisiko banjir kilat ialah daerah Rompin membabitkan Kampung Janglau 1, 2 dan 3; Kampung Serinkin; Kampung Setajam; Kampung Pianggu dan Kampung Sarang Tiong.

Di Selangor, daerah berisiko ialah Klang membabitkan Kampung Delek, Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa, Taman Melawis, Teluk Pulai, Taman Petaling, Taman Sentosa, Taman Saujana, Taman Rashna, Kampung Bukit Naga, Batu 8 Jalan Bukit Kemuning, dan Pandamaran.

Di Johor, lokasi diramalkan berisiko banjir kilat di daerah Mersing ialah Kampung Air Tawar; Kampung Semaloi, Kampung Asli Labong, Kampung Sg Padang, Kampung Kuria Batu 4, dan Mukim Triang, manakala di daerah Pontian pula Kampung Bugis, Batu 6, Kampung Parit Jerman, Kampung Penerok, Jalan Makam, Kampung Penghulu Bakar, Kampung Permas serta Kampung Parit Sulaiman.

Di Sarawak, kawasan berisiko di daerah Kuching ialah Kampung Batu Kitang, Batu Kitang KM10, Kampung Stenggang, Kampung Mambong, Kampung Bratan dan Kampung Selampit.

Selain itu, turut terlibat ialah daerah Serian membabitkan Taman Duranda Mas, Kampung Duras Batu 16 dan 17, Jalan Kuching Tapah Lama, Jalan Kampung Batu Gong serta Siburan Bazaar.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan melayari laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram