POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 22 kertas siasatan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk 10 kes merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik dan calon di seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, di Johor, polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dia dipanggil dengan gelaran 'biawak' oleh ahli jawatankuasa bahagian sebuah parti politik.
"Pengadu mendakwa suspek mengugut untuk membelasahnya jika mereka bertemu lagi.
"Suspek bagaimanapun sudah tampil untuk menafikan dakwaan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (9 November).
Hazani berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai ugutan jenayah.
Di Pulau Pinang, polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang mengaku gengster dan 'menjaga kawasan' Air Hitam.
"Suspek pergi ke Bilik Gerakan BN Bukit Bendera dan memberitahu dia gengster yang 'jaga kawasan' Air Hitam dan segala urusan pemasangan bendera kempen perlu dibuat melaluinya serta membuat bayaran kepadanya.
"Suspek mengugut akan melakukan gangguan dan meminta pengikutnya untuk membuat kacau di kawasan itu sekiranya arahannya tidak dituruti.
"Dia ditahan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 kes kertas siasatan dibuka berkaitan perbuatan khianat merosakkan bendera dan papan tanda parti.
Polis turut membuka 22 kertas siasatan dan menahan empat suspek kerana mengadakan ceramah tanpa permit sah.
“Kami menahan seorang suspek di Pulau Pinang dan Kelantan manakala dua lagi ditahan di Johor,” katanya sambil menambah sebanyak 177 ceramah diadakan tanpa permit pada Selasa.
Hazani yang juga Pengarah Operasi PDRM bagi PRU-15 berkata, Negeri Sembilan merekodkan jumlah ceramah tanpa permit tertinggi dengan 39 ceramah diikuti Perak (38), Selangor (25), Kedah (21), Kuala Lumpur (18), Johor (17), Pahang (sembilan) , Terengganu (enam), Sarawak (tiga) dan Kelantan (satu).
Menurutnya, statistik PRU-15 menunjukkan sebanyak 3,457 ceramah berpermit dijalankan di seluruh negara dengan Sabah, Johor dan Perak mencatat jumlah ceramah tertinggi masing-masing dengan 623, 482 dan 413 ceramah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram