PENYINGKIRAN Penang FC daripada Piala Malaysia di tangan Kuching City FC menerima kritikan hebat, lebih-lebih lagi daripada peminat tegar Harimau Kumbang.
Persembahan kurang menarik dalam kedua-dua pertembungan itu seakan-akan menyimpulkan musim pasukan yang hanya mampu menamatkan Liga Super di tangga tercorot.
Malah, isu pengurusan menyaksikan perubahan ketua jurulatih di pertengahan musim dengan jurulatih berpengalaman, Datuk Zainal Abidin Hassan kembali mengendalikan pasukan itu secara sementara.
Namun, ketika ini, pasukan utara tanah air itu bertindak melantik jurulatih muda, Manzoor Azwira Abdul Wahid dan difahamkan dia bakal membimbing kelab itu musim depan.
Oleh itu, dengan penyingkiran tersebut, Harimau Kumbang tentunya akan menggunakan tempoh sebelum musim depan bermula dengan menguatkan skuad menerusi pengambilan pemain-pemain baharu.
Sanrawat Dechmitr — Gambar Facebook/KedahFC
Pihak pengurusan dan kejurulatihan pastinya bertindak untuk mendapatkan pemain berkualiti berdasarkan pendekatan taktikal serta keserasian skuad pada ketika ini.
Bagaimanapun, bagi penyokong pula, mereka mula bercita-cita besar dengan menyuarakan pendapat mengenai pemain yang sepatutnya dibawa masuk selepas jendela perpindahan dibuka hujung tahun ini.
Menurut luahan penyokong Ako Zack menerusi halaman Facebook Group Penyokong Penang FC, dia berhasrat melihat dua tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi dan Sanrawat Dechmitr menyertai skuad Harimau Kumbang.
"Abang Arab dengan Mat Siam Kedah takmau. Penang takmau 'grip' ka? Ngah Wja pun padu, kena dengan taktikal Penang," katanya.
Baru-baru ini, terdapat khabar angin di media sosial yang mengatakan kedua-dua import tersebut bakal meninggalkan skuad Sang Kenari dengan beberapa pasukan Liga Malaysia mula menunjukkan minat.
Mahmoud Al-Mardi — Gambar Facebook/KedahFC
Kehadiran Al-Mardi dalam pasukan itu sememangnya penting buat pasukan apabila dia berjaya mencipta sembilan gol serta tujuh bantuan gol dalam 18 penampilan mereka.
Jadi, tidak timbul sebarang keraguan sekiranya pasukan lain mula berhasrat untuk mendapatkan khidmatnya melihat kepada kualiti dan sumbangannya.
Bagi Sanrawat Dechmitr pula, kesungguhannya di atas padang jelas terserlah apabila dia dilihat sering memberi tekanan kepada pihak lawan sebelum rakan sepasukannya mampu melancarkan serangan.
Selain itu, kemampuannya untuk membaca gerak lawan dirasakan sebagai salah satu aset utama dengan dia mudah memintas hantaran pemain, sekali gus membuka jalan kepada KDA FC untuk mengawal permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram