Rudie Ramli beri sebab Feroz jadi aset pertahanan JDT


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Feroz menjadi salah satu pemain pilihan Rudie dalam Best XI perlawanan kedua pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022 dalam formasi pilihan 4-3-3. — Facebook

PRESTASI yang konsisten ditunjukkan pertahanan muda Johor Darul Takzim (JDT), Feroz Baharudin, semakin mencuri perhatian dan dia dijangka mampu menjadi antara tulang belakang pasukan di masa depan.

Menurut bekas pemain kebangsaan dan penganalisis Liga Malaysia, Rudie Ramli, dia sangat tertarik melihat pertahanan berusia 22 tahun itu yang kian matang dalam corak permainan.

Jelasnya, aksi ditunjukkan Feroz menjadi salah satu kunci utama kepada kestabilan di bahagian pertahanan sehingga menyukarkan PJ City meraih sebarang jaringan di Stadium Sultan Ibrahim.

“Feroz bagi saya bagaikan bintang dalam pembikinan dan dia begitu serasi bergandingan dengan pertahanan berpengalaman, Shahrul Saad.

“Mungkin peluang berlatih dengan ramai pemain berkualiti di JDT membantu perkembangannya sebagai pemain dan saya rasa dia mampu pergi jauh.

“Pembacaan permainannya sangat baik serta bijak semasa melakukan cabaran kepada penyerang lawan, itu menjadi aset yang dimiliki Feroz,” katanya dalam kenyataan MFL pada Khamis.

313195859_2430146897148595_2866189469492441760_n

Gandingan Feroz bersama Shahrul mencipta keserasian di bek pertahanan JDT — Facebook

Feroz menjadi salah satu pemain pilihan Rudie dalam Best XI perlawanan kedua pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022 dalam formasi pilihan 4-3-3.

Selain Feroz, tiga lagi pemain yang melengkapkan barisan pertahanan ialah Ahmad Khuzaimi Piee dan Che Rashid Che Halim (Negeri Sembilan FC) dan Azam Azmi Murad (Terengganu FC).

Di bahagian tengah, dia memilih Fadzrul Danel (Kedah Darul Aman FC), Hong Wan (JDT) dan Zhafri Yahya (Kuala Lumpur City FC).

Kecemerlangan yang dipamerkan Kpah Sherman semasa membantu Terengganu menewaskan Sri Pahang FC membuatkan dia terus berada dalam Best XI minggu ini selain Bergson da Silva (JDT) dan Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC).

Tiga aksi penyelamatan yang luar biasa dibuat penjaga gol Kedah Darul Aman, Ifwat Akmal ketika berdepan Negeri Sembilan menjadikan dia turut diletakkan dalam pilihan Rudie manakala Rezal Zambery Yahya dipilih selaku ketua jurulatih terbaik.

Seorang lagi pemain yang turut menarik perhatian Rudie ialah Ifwat yang kembali mempamerkan prestasi cemerlang selepas kerap dilanda kecederaan serta prestasi tidak menentu sepanjang musim ini.

“Ifwat berikan apa yang dia boleh lakukan pada beberapa musim lalu ketika di kemuncak prestasi dan dia berikan aksi yang sangat baik.

“Malah saya difahamkan dia tidak berapa sihat semasa perlawanan berkenaan dan dia sanggup bermain untuk pasukan, ini sememangnya satu semangat yang luar biasa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram