Kehilangan Nijey buka ruang pemain tersisih tunjuk taring


  • Podium
  • Sabtu, 05 Nov 2022

Shahrul Nizam dilayangkan kad merah ketika perlawanan kedua bersama Sri Pahang FC. — Facebook/Terengganu FC

KEMARAAN Terengganu FC ke suku akhir Piala Malaysia meningkatkan lagi peluang pasukan itu untuk menamatkan kemarau trofi selepas kali terakhir menjuarai sesuatu kejohanan.

Kemenangan bergaya dalam aksi timbal balik ketika berdepan Sri Pahang FC serba sedikit mengejutkan penyokong bola sepak tempatan apabila mereka mudah meratah lawan dengan agregat skor 9-3.

Namun, aksi kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu terpalit insiden kurang menyenangkan apabila pemain pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah.

Keputusan itu diambil pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah selepas dia didapati mengasari penyerang lawan, Steven Rodriguez yang mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

Berikutan hal itu, pemain berusia 24 tahun itu bakal kempunan untuk aksi pertama suku akhir, yang pastinya mendatangkan kerisauan kepada barisan kejurulatihan.

nafuzii

Nafuzi pasti runsing untuk mencari pengganti untuk mengisi slot Shahrul Nizam. Facebook/Terengganu FC

Dalam saingan Liga Super, Shahrul, yang juga dikenali sebagai Nijey kerap diberi kepercayaan untuk berganding dengan import Sang Penyu, Pape Diakite dengan dia diturunkan sebanyak 21 kali dalam 22 perlawanan.

Selain itu, struktur fizikalnya juga menjadi satu kelebihan dan bijak menggunakan ketinggiannya untuk menyekat hantaran selain menjadi ancaman dalam situasi bola mati.

Oleh itu, kehilangannya ketika menghadapi skuad Warga Kota pastinya dirasai Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain perlu mencari solusi jika bercita-cita untuk mara ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, bagi penyokong Terengganu FC, mereka seakan-akan sudah mengenal pasti pengganti berkaliber untuk mengisi slot dalam benteng pertahanan.

"Walaupun posisi pertahanan tengah lebih sinonim dengan Aqil Irfan, perlawanan yang bersifat fizikal dengan pertemuan bersama Romel Morales atau Jordan Mintah, fizikal Adib adalah lebih sesuai," kata Waqiuddin Ramli.

"Kadang-kadang, Adib ni sedikit tergopoh-gopoh di hadapan pintu gol sendiri. Tetapi, dia ni bagus kerana perwatakan keras, berpengalaman dan mampu membaca permainan," kaat Syed Amar.

"Adib ni, pada saya dia sedikit lambat tetapi dia adalah pilihan yang lebih baik berbanding pertahanan lain seperti Hafizal Mohamad," kata Jiwa Kacau.

adib-officialterengganufc

Adib jarang diberi peluang dalam skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Pujian itu pastinya mendatangkan kegembiraan kepada pemain berusia 27 tahun itu selepas dia jarang diberi peluang dengan kehadiran Shahrul Nizam.

Musim ini, Nafuzi hanya menurunkan Adib sebanyak lima kali dalam perlawanan liga dengan tiga daripadanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.

Perkara itu pastinya memberi sedikit impak terhadap kemampuannya di atas padang dengan segelintir penyokong berharap terdapat pilihan lain yang lebih baik.

Namun, keputusan itu terletak di tangan barisan kejurulatihan apabila mereka pasti berhasrat untuk membawa pulang bekalan selesa ketika aksi timbal balik di laman sendiri pada 11 November nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram