Kempen PRU15 masuk hari ke-3, heboh Anwar 'kalah awal' di Tambun


Papan tanda memaparkan usikan ditujukan kepada Anwar ketika bertanding di Parlimen Tambun. — Perak Insights

HARI penamaan calon yang berlangsung Sabtu lalu mengesahkan bakal-bakal wakil rakyat yang akan berjuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara parti gabungan yang bertanding pada PRU15 adalah seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Bagi menguatkan lagi kubu parti masing-masing, setiap pengerusi tidak ketinggalan untuk turun bertanding.

Ini termasuk Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdepan pertandingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Tambun.

Anwar akan ditentang calon BN yang juga Ketua Umno Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; Abdul Rahim Tahir (GTA) dan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN).

Beberapa hari sebelum tarikh pengumuman calon itu, laman Ipoh Ipoh Ajerr yang terkejut dengan desas-desus mengenai pencalonan Anwar di Parlimen Tambun dilihat meminta pendapat netizen.

Hantaran yang dibuat pada 21 Oktober itu telah menarik perhatian ramai untuk sama-sama memberi respons samada menanda emoji 'love' sekiranya menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu manakala emoji 'ketawa' bagi yang menolaknya.

Screenshot 2022-11-07 172906

Tangkap layar hantaran di laman Ipoh Ipoh Ajerr.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti setakat Isnin (7 November) petang, seramai lebih 3,600 orang memberi emoji 'ketawa' manakala 1,200 lagi memberi tanda 'love'.

Selebihnya, seramai 646 orang memberi emoji 'like'; 51 (terkejut); dan 12 (marah).

WhatsApp Image 2022-11-07 at 8.26.03 AM

Jumlah respons hantaran di laman Ipoh Ipoh Ajerr.

Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan oleh media tempatan baru-baru ini, muncul pula gambar sebuah papan tanda bertulis: "Dari Tambun Susur Keluar ke Utara".

Papan tanda itu dipercayai sama ada merupakan usikan calon pencabar lain atau penduduk Tambun yang memberi isyarat tidak menyokong pencalonan Anwar di Parlimen tersebut.

Respons berkenaan menunjukkan kehadiran Anwar sukar diterima pengundi Tambun dan mereka seperti berharap Faizal mampu mempertahankan kerusi itu.

Namun, orang ramai tidak boleh memandang rendah akan kebolehan Anwar yang sudah cukup lama berkecimpung dalam dunia politik.

Ini dibuktikan apabila beliau menang besar dan mendapat sokongan penuh penduduk Port Dickson ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu pada 2018.

Walhal, beliau baharu sahaja keluar dari tirai besi pada tahun sama.

Segalanya tentang status calon yang bertanding PRU15 bakal terjawab pada 19 November ini, sementara undian awal mampu dibuat pada 15 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram