Ismail Sabri masih PM pilihan


  • Politik
  • Isnin, 07 Nov 2022

Ismail Sabri dipilih sebagai 'poster boy' bagi BN untuk menjadi Perdana Menteri jika memenangi PRU15.

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob tetap menjadi pilihan utama sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata pemimpin gabungan itu.

Menurut mereka, parti-parti Pembangkang terus memutar belitkan perkara ini walaupun BN sudah mengumumkan pendiriannya itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara ini jelas menunjukkan bahawa Pembangkang sudah kehabisan idea menjelang hari pengundian dan disebabkan itu mereka mengelirukan orang ramai tentang siapakah calon pilihan BN untuk menjadi Perdana Menteri nanti.

"Perkara ini diputuskan pada perhimpunan agung Umno dan majlis mesyuarat tertinggi baru-baru ini yang mana 156 bahagian menyokong usul untuk mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai 'poster boy' BN untuk menjadi Perdana Menteri.

"Tiada apa yang berubah sejak daripada itu dan tiada kekeliruan yang timbul mengenai isu terbabit.

"Pembangkang hanya melakukan apa yang mereka boleh untuk menang, iaitu dengan mengelirukan rakyat," katanya selepas menghadiri Program Komuniti Anti Dadah di Ayer Hitam, Johor pada Ahad.

1807508

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran pula berkata, dalam Barisan mereka sangat jelas dan banyak kali telah mengatakan bahawa calon Perdana Menteri ialah Ismail Sabri.

"Amat jelas semua kekeliruan ini adalah untuk menutup kepincangan dan ketidakcekapan Pembangkang dalam mendapatkan calon perdana menteri yang mempunyai rekod bersih.

"Percubaan mereka memainkan isu ini jelas menunjukkan mereka tidak mahu orang ramai nampak mereka gagal menamakan calon perdana menteri yang baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Penyandang Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menzahirkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan tertinggi Umno khususnya presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang beberapa kali mengesahkan Ismail Sabri sebagai calon utama Perdana Menteri.

Tambahnya, Ahmad Zahid mahu melihat parti itu kuat dan salah satu faktornya ialah menjadikan ahli parlimen Bera sebagai calon Perdana Menteri.

"Kita semua berhimpun di sebalik agenda dan langkah yang sama. Kita mahu melihat kerajaan yang lebih stabil, negara yang lebih makmur datang daripada kepimpinan yang berkebolehan seperti Datuk Seri Ismail Sabri," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau tidak terkejut dengan tuduhan pemimpin Pembangkang bahawa undi untuk Barisan adalah undi untuk membebaskan Ahmad Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada kes mahkamah mereka yang sedang berjalan.

"Pembangkang bermain dengan sentimen itu. Ismail Sabri adalah pilihan Barisan untuk Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, undi untuk calon Barisan, Khairy Jamaluddin di kerusi Parlimen Sungai Buloh adalah sama dengan undi untuk Ahmad Zahid.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, adalah keputusan parti bahawa Ismail Sabri akan menjadi calon Perdana Menteri.

“Saya yakin kerana kepimpinan parti termasuk Presiden (Ahmad Zahid) sudah beberapa kali menyatakannya bahawa keputusan parti akan dilaksanakan dan dipatuhi,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis.

Shahril juga berkata, surat yang tular di media sosial yang mana syarat tertentu didakwa dikemukakan kepada calon termasuk mengikrarkan sokongan mereka kepada Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri adalah palsu.

Khamis lalu, laporan polis dibuat berhubung surat itu, yang mendakwa pengarah komunikasi Barisan Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah telah berikrar untuk menyokong Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri.

Shamsul juga menolak surat itu sebagai palsu dan berkata tersebarnya perkara tersebut dilakukan dengan niat jahat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung perkara itu baru-baru ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram