Cuti umum tawaran tambahan PN jika menang PRU15 — Muhyiddin


  • Politik
  • Ahad, 06 Nov 2022

Muhyiddin berkata, tawaran PN BEST meliputi 12 tunjang utama yang merangkumi 30 pendekatan dan 234 tawaran. — Facebook/Perikatan Nasional

PERIKATAN Nasional (PN) menawarkan cuti umum kepada lebih 21 juta pengundi jika koalisi itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 19 November nanti.

Tawaran itu merupakan tambahan kepada 12 tunjang utama dalam manifesto PRU15 PN yang bertemakan Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang atau dikenali PN BEST.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengisytiharan cuti umum itu akan dibuat pada Ahad bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, serta Isnin untuk negeri-negeri lain.

"Saya tahu keinginan rakyat untuk mengundi amat tinggi. Ini termasuk pengundi luar yang terpaksa mengundi di kampung halaman atau di tempat lain daripada tempat tinggal mereka.

"Jadi saya nak umumkan, jika PN menang dalam pilihan raya pada hari Sabtu (19 November), kita akan isytihar cuti umum. Ini akan membolehkan pengundi luar keluar mengundi tanpa perlu memohon cuti pada hari Ahad atau Isnin," katanya.

1795496

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Tawaran PN Best di Glenmarie Hotel & Golf Resort, Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Tawaran PN BEST meliputi 12 tunjang utama yang merangkumi 30 pendekatan dan 234 tawaran digubal dengan mengambil kira pandangan dan sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting oleh mereka.

Muhyiddin memberi jaminan manifesto yang ditawarkan dalam PRU15 itu adalah tawaran yang boleh dilaksanakan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa semua inisiatif Bajet 2023, termasuk bantuan kepada rakyat dan penjawat awam akan dilaksanakan oleh PN.

"Dengan pengalaman yang ada sebagai kerajaan, kami yakin bahawa kesemua tawaran ini dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan dengan sokongan semua penjawat awam, agensi-agensi kerajaan, GLC dan pihak swasta," katanya.

Tawaran Best PN menggariskan tunjang membina ekonomi masa depan, meningkatkan nilai dan taraf hidup rakyat, membersihkan politik dan tadbir urus, mensejahterakan Bumiputera, Orang Asli dan semua kaum, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, melestarikan alam sekitar dan merancakkan pelancongan.

Turut ditawarkan pemerkasaan belia dan mensejahterakan keluarga muda, mengoptimumkan potensi wanita, membina warga emas yang sejahtera, memperkasa orang kelainan upaya (OKU) dan memperkasa generasi Felda serta mentransformasi petani, penternak, nelayan dan pekebun kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram