'Agak-agaklah saya tak keluar rumah pun, faham PRU15 sudah hampir' — TMJ respons dakwaan punca kemalangan tular


  • Podium
  • Isnin, 07 Nov 2022

TMJ menafikan dakwaan tular di Twitter berhubung Baginda dituduh menjadi punca orang awam terlibat kemalangan di Pasir Pelangi, Johor Bahru pada Ahad. — Agensi

PEMILIK Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sememangnya satu figura yang cukup dihormati dalam kalangan peminat bola sepak keseluruhannya.

Kejayaannya untuk membawa kelab selatan tanah air itu ke satu tahap lebih tinggi bukan sahaja menguntungkan mereka, malah berjaya membawa kualiti Liga Malaysia ke dimensi baharu.

Namun, pada Ahad, satu kontroversi dilemparkan kepada Baginda di laman sosial apabila seorang pengguna Twitter, @Pio_Dhurjana berkongsi satu foto mendakwa keretanya tercalar gara-gara TMJ.

"Tadi tengah menunggu lampu isyarat memang sesak, tiba-tiba sahaja ada bunyi siren. Jadi, kereta mengelak dan berhimpit ke kanan termasuk aku sehingga tergesel ke pembahagi jalan.

"Sekali, yang lalu @HRHJohorII (TMJ), ingat kecemasan atau apa sahajalah. Ini kalau hantar insurans mahu sebulan ambil masa, kalau bengkel sahaja tiga, empat hari sudah selesai," ciapnya.

WhatsApp Image 2022-11-07 at 10.44.22

Ciapan Twitter @Phio_Durjana menarik perhatian pengguna media sosial yang lain.

Tambah pengguna media sosial itu, dia yang bertugas sebagai pengusaha kantin sememangnya menggunakan kenderaan tersebut sebagai punca rezeki serta melihat ia satu beban yang cukup besar buatnya sekeluarga.

Hantaran yang dibuat pada Ahad itu jelas menerima respons pelbagai pihak sebelum TMJ mengambil keputusan untuk menepis perkhabaran itu dengan ciapan balas ringkas.

"Salam Encik, nak buat cerita pun agak-agaklah. Saya tak keluar rumah pun hari ini dan saya faham, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah hampir tetapi taktik menghasut dan menipu tidak akan selesaikan masalah rakyat," ciap TMJ.

WhatsApp Image 2022-11-07 at 10.44.52

Ciapan balas pemilik JDT itu menenangkan sedikit keadaan.

Hantaran itu turut disertakan dengan swafoto TMJ bersama anak, Tunku Khalsom Aminah Sofiah Tunku Ismail Idris dalam keadaan tenang dan bersahaja.

Bagaimanapun, @Pio_Dhurjana sekali lagi memberi respons terhadap hantaran itu dengan menegaskan bahawa insiden itu adalah benar serta berkongsi alamat kejadian tersebut.

"Waalaikummussalam, saya rasa sata tidak rabun lagi dan Tunku boleh cek pukul 7.03 malam di jalan menghala ke Pasir Pelangi dan plat nombor pendaftaran kereta berwarna krim dan diiring polis," jawabnya.

Belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung dakwaan itu setakat ini, sementara semakan Majoriti terhadap nombor pendaftaran kenderaan terbabit juga mendapati tiada sebarang saman tertunggak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram