PILIHAN RAYA Umum ke-15 (PRU15) yang bakal dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi dianggap masa yang agak kritikal buat calon-calon yang bakal bertanding.
Selain aktif berkempen secara fizikal, ahli-ahli politik juga dilihat aktif menarik sokongan pengundi secara online.
Ini termasuk ada dalam kalangan ahli politik yang memanfaatkan platform TikTok, sebagai antara kaedah mudah bagi mendapat sokongan pengundi muda.
Antara yang mengikuti 'trend' TikTok adalah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat rancak menari menerusi lagu Swipe, nyanyian penyanyi Singapura, Alyph.
Setiap kali perkataan 'swipe' disebut, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang berusia 75 tahun itu akan 'swipe' logo parti lawan iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Video pendek milik penyandang Parlimen Pagoh itu sudah mencatat hampir empat juta tontonan dalam masa sehari.
Ramai netizen dilihat memuji Muhyiddin yang lebih dikenali sebagai 'Abah' oleh penyokongnya sebagai comel kerana mengikuti 'trend' tersebut.
Tidak ketinggalan adalah pemimpin veteran, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat sudah menarik lebih 400,000 pengikut di TikTok.
Berbeza dengan Muhyiddin, video Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) kali ini dilihat lebih serius.
Dalam salah satu video terbaharunya, penyandang Parlimen Langkawi itu membincangkan tentang Muhyiddin yang disifatkan sebagai 'pengkhianat', selain dianggap tidak menyesal terlibat dalam Gerakan Sheraton - sebuah rampasan kuasa yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada 2020.
Selain itu, calon PRU15 berprofil tinggi yang mempunyai pengikut melebihi 300,000 orang adalah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Tengku Zafrul juga merupakan pendatang baharu di pentas politik, yang bertanding di Parlimen Kuala Selangor menggunakan tiket BN.
Sementara itu, Khairy akan merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15, selepas beberapa penggal menawan Parlimen Rembau.
Kedua-duanya dilihat bercakap mengenai dasar mereka dalam pilihan raya, selain berkongsi video pendek tentang interaksi mereka bersama penduduk kawasan yang ditandingi.
Pada masa sama, kedua-dua menteri itu juga berkongsi video bersama rakan sejawatan mereka di Singapura.
Tengku Zafrul dilihat menyiarkan video beliau bermain gitar bersama Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong.
Sebaliknya, Khairy berkongsi video ketika beliau sedang menjamu selera dan berbasikal bersama Menteri Kesihatan Singapura, Ong Ye Kung.
Pada masa sama, calon muda seperti penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sememangnya sinonim dengan kempen media sosial.
Dengan memiliki lebih daripada 800,000 pengikut, ahli politik yang berusia 30 tahun itu menggunakan platform tersebut bagi menyedarkan orang ramai seperti kepentingan mengundi, jurang gaji jantina dan kesihatan mental.
Tetamu tetap dalam video TikToknya adalah penyandang kerusi Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
Bukan itu sahaja, pempengaruh media sosial yang bertukar menjadi ahli politik, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin turut menjadi perhatian.
Nur Fathiah atau lebih dikenali sebagai Cleopatra akan bertanding merebut kerusi Parlimen Batu menerusi pertembungan 10 penjuru.
Meskipun lebih aktif di Instagram, beliau juga dilihat telah mula berkempen di TikTok.
Menerusi video terbaharunya, beliau menyampaikan video ucapan selama dua minit dalam bahasa Mandarin dan menggesa pengundi memberi peluang kepada calon lebih muda untuk memimpin negara.
Ketika pertarungan pilihan raya semakin panas, jangan terlupa bahawa TikTok baru-baru ini menekankan bahawa sebarang maklumat yang mengelirukan akan diharamkan di platfom tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram