Masa sudah tamat buat Farizal? 4 calon jadi pilihan jaga gawang JDT


  • Podium
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Aksi Farizal dilihat tidak begitu lagi lincah seperti waktu kemuncaknya dan prestasinya mula dipersoalkan para peminat bola sepak negara. — Agensi

UMUM diketahui sehingga kini posisi penjaga gol nombor satu Johor Darul Takzim (JDT) masih lagi kukuh dipegang oleh Farizal Marlias biarpun umurnya semakin meningkat.

Farizal bukan lagi satu nama asing dalam dunia sukan bola sepak negara apabila dia antara penjaga gol yang memiliki banyak kejayaan dalam saingan domestik atau peringkat antarabangsa.

Antara kejayaan yang sudah dikecapi Farizal sehingga kini apabila dia mengekalkan rekod selama empat musim berturut-turut selaku penjaga gol terbaik Malaysia dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Farizal-Marlias-re

Farizal juga menjadi antara tunjang pelbagai kejayaan JDT. Agensi

Selain itu, Farizal juga menjadi antara tunjang kejayaan JDT sewaktu mereka menjuarai saingan Piala AFC pada 2015 ketika menewaskan kelab Tajik, Istiklol.

Namun sejak kebelakangan ini, aksi Farizal dilihat tidak begitu lagi lincah seperti waktu kemuncaknya dan prestasinya mula dipersoalkan para peminat bola sepak.

Ditambah dengan aksi yang tidak konsisten sewaktu JDT tewas di tangan Urawa Reds pada saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia (ACL), timbul tanda tanya tentang kedudukan Farizal pada masa akan datang bersama kelab tersebut terutamanya pada musim depan.

Jika JDT mahu menggantikan Farizal, ini merupakan empat calon pemain terbaik bagi mengisi posisinya:

Rahadi-TFC-Training-pre-season-2021-1024x759

Rahadiazli juga menjadi sebahagian skuad Harimau Muda bagi kejohanan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Uzbekistan pada Jun lalu. Facebook/Terengganu FC

1. Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC)

Penjaga gol muda Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim pastinya diintai khidmatnya oleh kebanyakkan pasukan dalam negara ataupun di luar negara.

Baru berusia 21 tahun, Rahadiazli sekali lagi berjaya mendapat kepercayaan Nafuzi Zain walaupun baru pulih dari kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang membuatkannya berehat panjang musim lalu.

Pemain berketinggian 1.92 meter ini menjadi wira dalam kejohanan separuh akhir Piala FA apabila berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti dari pasukan Selangor FC sekali gus membawa Terengganu ke pentas akhir.

Rahadiazli juga menjadi sebahagian skuad Harimau Muda bagi kejohanan Piala Asia B-23 AFC 2022 di Uzbekistan pada Jun lalu.

Jika JDT mahukan seorang pemain muda yang mempunyai kematangan sebagai penjaga gol, mungkin pemain kelahiran Terengganu ini akan menjadi aset terbesar buat Harimau Selatan untuk jangka masa yang panjang.

Syihan-Hazmi-Negeri-Sembilan-Harimau-Malaya-2022

Syihan sudah pun mencatat enam ‘cleansheet’ buat Negeri Sembilan dan antara pemain paling banyak menafikan percubaan lawan menerusi ketangkasannya. Agensi

2. Syihan Hazmi (Negeri Sembilan)

Dalam kem Harimau Malaya, Syihan Hazmi merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan pasukan Malaysia tidak bolos lebih dari satu gol dalam perlawanan terakhir menentang Bangladesh pada Jun lalu.

Syihan boleh dikatakan sedang menikmati musim terbaiknya ketika ini bersama Negeri Sembilan menerusi aksinya konsisten yang sangat baik.

Setakat ini, dia sudah pun mencatat enam ‘cleansheet’ buat Negeri Sembilan dan antara pemain paling banyak menafikan percubaan lawan menerusi ketangkasannya.

Syihan jika dilihat, dia bukan pemain yang bercirikan ‘ball playing goalkeeper’ bersama Negeri Sembilan berbanding Farizal Marlias.

Namun, pemain kelahiran Kelantan ini sudah tentu boleh menawarkan sesuatu yang diinginkan JDT dari segi konsistensi serta usia dia yang masih panjang selaku pemain bola sepak.

Haziq-nadzli-Johor-southern-tigers-2019-1024x683

Haziq sudah mewakili pasukan kebangsaan sejak dari peringkat remaja sehingga berjaya melakukan satu penampilan bersama skuad Harimau Malaya. Facebook/JDT

3. Haziq Nadzli (JDT)

Penjaga gol ketiga skuad Harimau Selatan, Haziq Nadzli juga mampu menjadi pengganti yang sesuai buat Farizal kerana dia mungkin sudah memahami corak permainan rakan sepasukan yang lain.

Baru berusia 24 tahun, Haziq sudah pun mewakili JDT hampir enam tahun dan banyak menghabiskan waktu bersama JDT II sebagai penjaga gol utama pasukan itu.

Sejak 2016, Haziq sudah mewakili pasukan kebangsaan sejak peringkat remaja sehingga berjaya melakukan satu penampilan bersama skuad Harimau Malaya pada 2018.

Mungkin sudah sebati dengan cara latihan yang diterapkan oleh JDT, Haziq merupakan pemain yang bercirikan ‘ball playing goalkeeper’ seakan-akan penjaga gol utama Farizal Marlias.

Screenshot 2022-08-21 at 19-03-30 180566524_5393194817419646_5198981199011205115_n.jpg (WEBP Image 1618 × 1080 pixels) — Scaled (59%)

Kalamullah turut berada dalam senarai akhir bagi merebut gelaran Penjaga Gol Terbaik selepas mempamerkan aksi yang baik sepanjang musim. MFL

4. Kalamullah Al-Hafiz (PJ City)

Dinobatkan antara tiga penjaga gol terbaik 'cleansheet' musim lepas dan aksi positif bersama Petaling Jaya City (PJ City), Kalamullah antara pemain yang dipanggil ke kem Harimau Malaya pada Jun lalu.

Pada musim 2021, Kalamullah turut berada dalam senarai akhir bagi merebut gelaran Penjaga Gol Terbaik selepas mempamerkan aksi yang baik sepanjang musim.

Pemain berusia 27 tahun ini, mempunyai bacaan bola yang baik, lompatan dan tepisan bola yang bagus bagi mengelakkan gawang gol dibolosi oleh pihak lawan.

Walaupun beraksi cemerlang bersama PJ City, namanya tetap diketepikan dalam senarai akhir 23 pemain Harimau Malaya bagi saingan kelayakan Piala Asia 2023 Kumpulan E.

Musim 2022, dia juga tersenarai antara di kedudukan ketiga penjaga gol yang mempunyai banyak 'clean sheet' di belakang Syihan Hazmi dan Farizal Marlias. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram