Piala Malaysia aksi 'beli jiwa' Cheng Hoe, penentu nasib pemain Selangor


  • Podium
  • Khamis, 29 Sep 2022

Kempen Piala Malaysia merupakan ruang uji kaji buat Cheng Hoe. — Facebook/ Selangor FC

KEMPEN Piala Malaysia merupakan medan terbaik buat pemain-pemain Selangor untuk berusaha mengambil hati ketua jurulatih baharu mereka, Tan Cheng Hoe agar dikekalkan pada musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, Selangor FC tidak meletakkan sasaran tinggi pada Cheng Hoe pada kempen Piala Malaysia nanti.

Keputusan tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada jurulatih berusia 54 tahun itu untuk melakukan uji kaji terhadap barisan pemain Selangor sebelum memutuskan nasib mereka pada saingan liga akan datang.

"Kami tidak meletakkan sasaran terhadap Cheng Hoe pada kempen Piala Malaysia nanti, walaupun sudah tentu kami mahu pasukan Selangor untuk pergi sejauh mungkin.

"Cheng Hoe akan buat uji kaji dengan cuba letak pemain pada posisi berbeza untuk melihat aspek yang perlu ditambah, dikurang dan diperbaiki. Ini pasti akan memberi kesan kepada keputusan saingan Piala Malaysia nanti," katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai petunjuk prestasi utama (KPI) yang bakal diletakkan pada pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 itu, Johan enggan terburu-buru memberikan kata putus.

Jelasnya, perkara tersebut akan dibincang dalam mesyuarat bersama pihak-pihak berkepentingan Selangor FC setelah tamat kempen Liga Malaysia musim ini.

Selangor FC akan menyokong keputusan Cheng Hoe berkenaan pemilihan pemain. Selangor FC

"Berhubung KPI, kami akan duduk dan berbincang semula tapi buat masa ini kita tidak letakkan sebarang penanda aras. Selepas musim tamat, Cheng Hoe akan membuat penilaian terhadap pasukan.

"Cheng Hoe akan bentangkan mengenai siapa pemain yang akan dibawa masuk dan sebagainya. Dari situ, kami akan tetapkan KPI buat pasukan pada saingan tahun depan.

"Semua itu hanya akan berlaku pada akhir musim nanti. Selepas Selangor sudah habis main semua perlawanan," jelasnya,

Ditanya mengenai senarai 11 pemain Selangor yang tular di media sosial, Johan mendedahkan pihaknya masih belum membuat apa-apa pemilihan kerana masih menunggu penilaian daripada Cheng Hoe.

"Itu semua khabar angin sahaja. Kami memberi sepenuh sokongan kepada Cheng Hoe untuk memilih barisan pemain Gergasi Merah nanti. Hanya jurulatih tahu pemain yang sesuai dengan corak taktikalnya nanti," katanya.

Terdahulu, tular nama-nama pemain yang bakal membarisi pasukan Selangor termasuklah pemain sensasi Terengganu, Faisal Halim, Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC) dan Akhyar Rashid (Johor Darul Takzim). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram