Andai berhasrat jinakkan Jang Hobin, sila hadam 3 pesanan penyokong Selangor


  • Podium
  • Ahad, 06 Nov 2022

Negeri Sembilan berjaya menumpaskan Selangor 3-2 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi Liga Super pada penghujung Julai lepas. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEHADIRAN ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam skuad Selangor FC dilihat menjadi faktor utama di sebalik perubahan nasib dan prestasi pasukan Lembah Klang itu.

Selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima, jurulatih kelahiran Kedah itu berjaya membimbing skuad Gergasi Merah ke suku akhir Piala Malaysia.

Kemaraan dengan agregat 3-0 yang dicatatkan ketika bertemu pasukan Liga Perdana, Kelantan United FC membolehkan pasukan itu terus mara dalam menamatkan kemarau kejuaraan mereka selama hampir tujuh tahun.

Bagaimanapun, dalam aksi timbal balik itu, penyokong mula berasa gusar akan persembahan anak-anak buah Cheng Hoe, lebih-lebih lagi ketika aksi di Stadium MBPJ, Selangor pada Selasa lalu.

Kemenangan tipis yang dicatatkan itu masih belum memuaskan hati ribuan peminat setia Selangor FC di stadium tersebut dengan mereka berasakan masih terlalu banyak perubahan yang perlu dilakukan.

Oleh itu, dengan pertembungan suku akhir bersama Negeri Sembilan FC pada Ahad, tidak timbul sebarang tanda tanya apabila media sosial mula dibanjiri kegelisahan penyokong juara Piala Malaysia 33 kali itu.

311723906_551634263634973_5398554320740696739_n

Penyokong Selangor FC mengharapkan persembahan lebih baik daripada pemain. Facebook/Selangor FC

Mereka semestinya waspada akan kebolehan anak-anak buah K Devan selepas dia berjaya membawa skuad Jang ke tahap berbeza dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Kejayaan untuk menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan agregat 2-1 berjaya mencuri perhatian penyokong bola sepak tempatan meskipun lawan mereka sedang berada dalam pergelutan tersendiri.

Namun, bagi seorang penyokong bola sepak tempatan, Faizal Laziaf, dia percaya skuad Gergasi Merah mampu memperolehi bekalan selesa sebelum perlawanan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 12 November nanti.

Selain menegaskan bahawa perubahan taktikal perlu dilakukan staf kejurulatihan, dia juga menegaskan terdapat tiga aspek permainan yang perlu ditambah baik.

"Pertama, hantaran yang paling ketara sekali adalah kelemahan pasukan. Kedua, pemain perlu berwaspada dengan gerakan balas pantas yang mampu dilancarkan Negeri Sembilan FC.

"Ketiga, sekiranya penyerang berpeluang untuk melakukan percubaan ke pintu gol lawan, tidak perlu membuang masa dan terus mengambil kesempatan itu. Mungkin dalam tiga percubaan, satu mampu membuahkan hasil," katanya.

Dalam aksi baru-baru ini, pemain Selangor FC dilihat kurang memberi tekanan kepada skuad Kijang Hijau dengan segelintir penyokong melihat ia merupakan taktik Cheng Hoe untuk mengelak sebarang kecederaan.

Tetapi, majoriti peminat setia pasukan gergasi tanah air itu tidak berasakan ia bukanlah alasan untuk tidak beraksi dengan lebih baik dan mempamerkan aksi lemah longlai.

Luahan Faizal itu mendapat sokongan orang ramai dengan Seorang Seniman Desa percaya pelbagai kemahiran asas masih belum dikuasai kebanyakan pemain dalam skuad itu.

"Pemain tempatan Selangor perlu banyak melakukan latihan dengan bersungguh-sungguh kerana hantaran masih tidak mampu diterima rakan sepasukan dengan kemas.

"Jika ada gerakan balas daripada pasukan sendiri, saya lihat mereka masih lambat untuk membantu dan jika daripada pihak lawan pula, situasi yang sama turut berlaku," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan atas kertas juga dilihat memihak kepada NSFC apabila menewaskan Selangor 3-2 dalam aksi Liga Super pada penghujung Julai setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram