TIGA ketua jurulatih dan seorang bekas pemain menyatakan hasrat untuk mengendalikan skuad bola sepak Kelantan FC selepas pasukan itu layak beraksi pada saingan Liga Super musim depan.
Perkara itu didedahkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham yang akan membuat pengumuman lantikan kejurulatihan dan pemain baharu The Red Warriors (TRW) itu dalam masa terdekat.
Persoalan mengenai siapa yang bakal mengemudi skuad Kijang Merah mula berlegar-legar di media sosial apabila sebahagian penyokong mula mengaitkan beberapa nama termasuk dua bekas jurulatih TRW ke kelab Pantai Timur itu.
Berikut empat nama yang mungkin bakal mengemudi pasukan Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.
Ketua jurulatih The Phoenix ini dirasakan antara calon dalam pertimbangan Zamsaham. — Facebook
1) P Maniam
Berikutan terdapat ura-ura mengatakan Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bakal dibubarkan pada musim 2023, ketua jurulatih The Phoenix dirasakan antara calon dalam pertimbangan Zamsaham.
Selain PJ City FC, jurulatih berpengalaman itu pernah bersama Selangor B-19, skuad Liga Super Selangor selama tujuh musim dari 2009 hingga 2015 dan Harimau Muda (2019 - 2020).
Pengendali berusia 54 tahun itu menggunakan falsafah tanpa tonggak import dalam skuad PJ City, sekali gus boleh membantu ramai pemain tempatan mendapatkan minit permainan.
Namun nasib yang masih tidak menentu buat PJ City sama ada beraksi pada musim depan ekoran kemelut kewangan, memungkinkan P Maniam untuk berkira-kira berhijrah ke kelab lain demi mencari pengalaman baharu.
Kelantan FC mampu menjadi destinasi terbaik buatnya memandangkan kekosongan yang ditinggalkan Rezal Zhambry Yahya, apatah lagi kelab itu memiliki struktur kewangan yang kukuh di bawah pimpinan Zamsaham.
Sathianathan pernah membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010. — Facebook
2) B Sathianathan
Selepas berehat selamat empat bulan susulan masalah kesihatan serius sejak Jun lepas, jurulatih bola sepak berpengalaman, B. Sathianathan menyatakan hasrat untuk kembali menggalas tanggungjawab membimbing kelab.
Bekas ketua jurulatih Kelantan FC pada musim 2010 itu memaklumkan dia ada mengadakan perbincangan dengan dua kelab tempatan, mengenai potensi bekerjasama dalam merealisasikan impiannya untuk kembali membimbing pasukan.
"Satu pasukan di kawasan Lembah Klang, satu lagi di luar tetapi tiada kata putus, hanya perbincangan. Terdapat juga tawaran menerusi ejen saya tetapi perkara ini perlukan masa untuk buat keputusan, tetapi saya sudah bersedia,” katanya menurut laporan media sebelum ini.
Sebelum ini, Sathianathan yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan pada 2010, 2012 dan 2017, terpaksa berundur diri dari kancah bola sepak susulan faktor kesihatan yang mana dia dinasihatkan untuk menjalani rawatan.
Sathianathan pernah membimbing Kelantan menjuarai Piala Malaysia 2010, sebelum merangkul kejuaraan Liga Perdana masing-masing bersama Angkatan Tentera Malaysia pada 2012 dan Felda United pada musim 2018.
Bojan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super 2012 yang dimenangi Kelantan pada musim sebelumnya. — Facebook
3) Bojan Hodak
Berjaya membawa Kuala Lumpur City FC (KL City) hingga ke pentas final Piala AFC, skuad TRW juga perlukan barisan kejurulatihan yang mantap seperti yang dilalui The City Boys di bawah bimbingan Bojan Hodak.
Ada penyokong merasakan Bojan Hodak perlu mengendalikan Kelantan FC dan membawa kembali Kijang Merah melalui zaman kegemilangan seperti yang pernah dilakukannya bersama Kelantan.
Bojan membawa pasukan Kelantan menjuarai Piala FA buat kali pertama dengan mengalahkan pasukan Sime Darby pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil. Seterusnya, Bojan berjaya mengekalkan kejuaraan Liga Super 2012 yang dimenangi Kelantan pada musim sebelumnya.
Pasukan itu juga melayakkan diri suku akhir Piala AFC 2012 tetapi mereka kalah kepada Arbil FC dari Iraq, dengan agregat 3-6.
Kelantan turut mengesahkan kedudukan selaku kuasa besar bola sepak negara musim 2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan pasukan ATM.
Dia meninggalkan pasukan itu selepas berakhirnya musim 2013.
Nafuzi pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan dari 1996 hingga 1997 ketika zaman remajanya. — Facebook
4) Nafuzi Zain
Nama ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) yang cemerlang membawa Sang Penyu meraih gelaran naib juara Liga Super 2022 turut disebut bakal mengemudi TRW.
Ini selepas Zamsaham mendedahkan bahawa salah satu permohonan yang diterima adalah daripada bekas pemain bola sepak Kelantan.
Seperti yang diketahui pengendali muda berusia 44 tahun itu pernah beraksi bersama skuad Piala Presiden Kelantan dari 1996 hingga 1997.
Dia memulakan kerjaya senior di Terengganu dari 1998 hingga 2001 sebelum berhijrah ke Kedah pada 2007 dan Kelantan (2009).
Selain Kelantan, Nafuzi turut dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman FC. Dia juga turut menerima tawaran lanjutan kontrak bagi tempoh setahun untuk menerajui TFC musim depan.
Buat masa ini, Nafuzi masih belum memberi kata putus kerana enggan mengambil keputusan terburu-buru berhubung tawaran tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram