SIAPA sangka, pasukan kerdil tanah air, Negeri Sembilan FC mampu mengejutkan ramai pihak apabila berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga keempat musim ini.
Selepas berjaya menjulang trofi Liga Perdana pada musim sebelumnya, skuad Jang tekad menunjukkan kebolehan mereka sepanjang musim dalam usaha mengejar slot kelayakan ke pentas Asia musim depan.
Meskipun gagal untuk meraih tiket itu, pujian dan sokongan masih diberikan peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi dengan kos pengoperasian yang rendah.
Pendekatan taktikal ketua jurulatih, K Devan untuk menurunkan barisan pemain terbaik dalam setiap perlawanan dilihat menjadi punca utama apabila pihak lawan sukar menembusi benteng kental pasukan itu.
Bagaimanapun, titik peluh dan usaha setiap pemain juga perlu diberi perhatian dengan acuan bersama tonggak tempatan dan import membuahkan hasil.
Bagi penyokong skuad Jang, mereka pasti mengharapkan agar kesemua pemain utama dalam pasukan dapat dikekalkan untuk musim akan datang meskipun kuat khabar angin mengatakan terdapat beberapa pasukan mula menunjukkan minat masing-masing.
Namun, dua nama yang sememangnya diharapkan kekal setelah melihat prestasi dan sumbangan musim ini adalah duo import, Gustavo Almeida dan Herold Goulon.
Herold 'Mark' Goulon merupakan pemain penting di posisi pertahanan NSFC musim ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Ketajaman Gustavo di hadapan pintu gol jelas terbukti apabila dia berjaya menjaringkan sembilan gol selain membuat satu bantuan gol yang dimanfaatkan rakan sepasukan.
Struktur fizikal dan kemampuannya untuk membaca gerak-geri lawan mencuri perhatian ramai di samping kebolehannya untuk bergandingan antara rakan sepasukan, seperti Matheus Alves dan Zaquan Adha.
Bagi Goulon pula, sumbangannya di benteng pertahanan jelas berkesan dengan ketinggiannya membantu memintas hantaran pihak lawan, sekali gus merencatkan serangan mereka.
Ketajaman Gustavo (kiri) menjadi punca utama kejayaan pasukan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Tidak cukup dengan itu, ketiadannya dalam beberapa perlawanan, seperti ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) menjadikan barisan pertahanan longlai dan tidak terurus.
Sumbangan bekas pemain Sri Pahang itu di hadapan pintu gol juga tidak boleh dipandang remeh selepas dia berjaya menjaringkan enam gol menerusi sepakan penalti dan tandukan deras.
Oleh itu, tidak salah untuk mengatakan penyokong mula meluahkan hasrat mereka untuk melihat kedua-dua pemain import tersebut untuk terus kekal beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi musim depan.
"Gustavo dan Goulon tu bolehlah kekal untuk musim depan, yang lain kalau terpaksa untuk dikeluarkan, saya tidaklah terlalu berat hati," kata Azwan Zalizan.
"Kalau dilihat prestasi dalam setiap perlawanan, hanya Gustavo dan Goulon sahaja yang mempunyai peranan penting serta perlu dikekalkan," kata Mhd Fiq.
"Kalau ada yang tanya saya, saya boleh katakan dua pemain import, Goulon dan Gustavo Almeida yang wajib dikekalkan untuk satu lagi musim," kata Yus Ahmad.
Gustavo pastinya dipancing beberapa pasukan menjelang pembukaan jendela perpindahan hujung tahun ini apabila dia baru sahaja berusia 26 tahun serta mempunyai kemampuan tersendiri.
Selain itu, Goulon juga mula hangat diperkatakan penyokong pasukan lain apabila prestasi dan persembahannya musim ini mencuri perhatian berbanding ketika tempohnya bersama kelab lain.
Jika NSFC berjaya mengekalkan prestasi, tidak mustahil mereka antara pencabar utama Piala Malaysia musim ini, sekali gus mengintai slot Piala AFC musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram