Saddil Ramdani mungkin tak jadi ke Austria sebab 'tulang belakang' keluarga, berita gembira buat Sabah FC


  • Podium
  • Khamis, 03 Nov 2022

Saddil belum membuat keputusan untuk menerima lamaran kelab Austria itu. — Agensi

PEMAIN kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani mengesahkan bahawa sebuah kelab dari Austria berminat menggunakan khidmatnya.

Namun begitu, peluang Saddil untuk bermain bersama kelab tersebut mungkin terpaksa dilupakan kerana faktor keluarga.

Sebelum ini, maklumat mengenai tawaran yang diperolehi oleh pemain berusia 23 tahun itu disampaikan oleh bekas lagenda pasukan kebangsaan Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto.

Menurut Kurniawan, kelab Austria yang tidak didedahkan nama pasukannya itu berminat dengan cara permainannya dan mereka juga sudah memberi tawaran kepada Saddil untuk datang pada Disember 2022.

Bagaimanapun, bekas pemain Persela Lamongan itu tidak tahu sama ada dia boleh memenuhi undangan itu ataupun tidak.

"Alhamdulillah, jemputan dari kelab Austria adalah benar.

“Jurulatih Kurniawan mahu saya mengembangkan karier ke Eropah dan saya sendiri juga mahu tetapi faktor utama buat saya ketika ini ialah keluarga saya,” katanya.

Berdasarkan temu bual bersama BolaSport.com, pemain Sabah FC itu mengakui bahawa dia adalah tulang belakang keluarganya.

saddil ramdani

Saddil menyertai Sabah FC pada musim 2021. — Facebook Sabah FC

Dengan bermain bola sepak, Saddil boleh menampung keperluan empat adik-beradiknya dan ibunya.

"Saya adalah pencari nafkah keluarga yang mempunyai empat adik beradik dan tinggal bersama ibu saya.

"Saya tidak mempunyai bapa seperti orang lain yang boleh menyokong, membimbing atau menyara seluruh keluarganya.

“Jadi saya buntu dan berfikir sama ada saya perlu mengorbankan kerjaya saya atau saya perlu memikirkan keluarga,” jelasnya.

Pemain sayap itu mengatakan bahawa dia memerlukan nasihat sebelum menerima atau menolak tawaran daripada kelab Austria itu.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih Kurniawan yang sentiasa menginginkan saya untuk menjadi lebih baik.

“Jurulatih Kurniawan berkata, walaupun ada tawaran daripada kelab Austria, saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan seluruh keluarga sebelum memutuskannya,” ujarnya.

Saddil kini menjadi watak penting dalam skuad The Rhinos dan dia berjaya membantu pasukan itu menduduki tangga ketiga bagi saingan Liga Super 2022.

Jika Saddil menolak tawaran dari kelab berpangkalan di Eropah itu, Sabah FC berpeluang untuk menggunakan lagi khidmatnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan bahawa pihak Sabah Fsudah menawarkan kontrak baharu kepada Saddil namun kata pemain tersebut belum memuktamadkan keputusannya. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram