Rombakan besar Hijau Kuning, 2 nama import wajar disingkir


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

Sang Kenari gagal untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2022. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PENYINGKIRAN awal Kedah Darul Aman (KDA) FC daripada saingan Piala Malaysia menyaksikan pasukan itu sekali lagi gagal untuk mengecap sebarang kejayaan.

Selepas menjulang trofi Piala FA pada 2019, kemerosotan demi kemerostan dialami skuad Sang Kenari dengan kemuncaknya dilihat dalam musim ini.

Kegagalan untuk melepasi peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC seakan-akan memberi gambaran bahawa pasukan tersebut bukanlah pencabar sengit kepada pasukan Liga Malaysia tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, prestasi tidak menentu dalam saingan liga turut menyekat hasrat mereka untuk menambah baik kedudukan dalam carta apabila mereka menamatkan musim di tangga kelapan.

Berang dan kecewa akan perkara itu, penyokong tegar Hijau Kuning tidak henti-henti menyuarakan isi hati mereka menerusi media sosial dengan mengharapkan satu perubahan bakal dibuat sebelum permulaan musim akan datang.

Antara desakan yang dibuat penyokong adalah meminta supaya pihak pengurusan dan kejurulatihan bertindak tegas ketika jendela perpindahan dengan membuat rombakan besar-besaran terhadap skuad.

Selain berhasrat untuk melihat wajah-wajah baharu, penyokong turut berpendapat sebahagian daripada tonggak pasukan perlu disingkirkan selepas berasakan sumbangan mereka amat mengecewakan.

312026617_539064591388229_7490037760306003830_n

Prestasi Vales dilihat semakin merudum menjelang penghujung musim. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Berdasarkan pemerhatian di media sosial, beberapa nama pemain tempatan dan import mula dikenal pasti peminat supaya tidak disambung kontrak mereka ketika jendela perpindahan kelak.

Namun, dua nama yang kerap muncul ialah tonggak pertahanan kental, Marc Vales dan pemain tengah Sang Kenari, Dechi Marcel walaupun mereka baru sahaja menyertai awal musim lalu.

Ketika Aidil Sharin Sahak masih memegang tampuk kejurulatihan, kepercayaan sering diberikan kepada Vales apabila pemain berketinggian 1.84 meter itu bijak membaca gerakan lawan.

Selain itu, kemampuannya untuk menyekat hantaran menggunakan tandukan dan bentesan dilihat berjaya menempah namanya dalam kesebelasan utama bagi digandingkan dengan rakan sepasukan yang lain.

Bagaimanapun, dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, sumbangan dan persembahannya dikatakan semakin mengecewakan sehingga menyaksikan penyokong mendesak pemain itu disingkirkan.

"Kalau kamu semua hendak tahu, Marc Vales itu saya rasa memang tidak boleh diharap langsung kerana dia sering melakukan kesilapan di hadapan kawasan penalti sendiri," kata Rohayah Zul.

"Marc Vales tu boleh ditukarkan rasanya. Pihak pengurusan bayar pemain import tetapi main pada tahap tempatan sahaja kerana saya nampak hantaran tidak tepat dan jarang membuat larian," kata Zul Aff Endi.

Musim ini, pemain berusia 32 tahun itu muncul sebanyak 15 kali dalam saingan Liga Super dan hanya mampu merekodkan tiga perlawanan tanpa dibolosi.

Bagi Marcel pula, kehadiran pemain tersebut di tengah padang sememangnya mengundang kritikan apabila dia gagal untuk melakukan perubahan kepada pasukan.

313260494_541413157820039_5810925401678011730_n

Sumbangan Dechi tidak memberi sebarang penambah baikan buat pasukan. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Selepas menyertai KDA FC daripada Terengganu FC, pemain kelahiran Ivory Coast itu gagal untuk mengawal rentak permainan sepertimana yang diharapkan.

Di samping itu, gandingannya bersama seorang lagi import, Sanrawat Dechmitr juga tidaklah memberi impak seperti yang diharapkan dengan penyokong lebih menggemari pemain kebangsaan Thailand itu.

Selain itu, sumbangannya di hadapan pintu gol juga tidaklah memberangsangkan apabila dia hanya berjaya mencetak satu gol dalam kesemua 17 perlawanan Liga Super.

Jadi, tidak timbul sebarang tanda tanya apabila penyokong setia Sang Kenari mula membanjiri laman media sosial dengan mengharapkan Marcel digugurkan daripada skuad musim depan.

"Dechi Marcel itu pada saya berada pada tahap pemain tempatan sahaja, lagipun struktur fizikalnya yang rendah juga sukar untuk menyaingi lawan berbadan besar," kata Zed Crew.

"Pada saya, Dechi tidak perlulah disambung kontraknya kerana dia tidak mempunyai sebarang keistimewaan yang diharapkan daripada seorang import," kata Zull Kulim. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram