Jurulatih, naik taraf pusat latihan antara perubahan KDA FC perlu lakukan — Exco


  • Podium
  • Rabu, 02 Nov 2022

Victor Andrag diberikan kepercayaan oleh KDA FC menggalas tugas Ketua Jurulatih sementara selepas Aidil Sharin Sahak tidak lagi bersama pasukan itu. — Facebook/KDA FC

PERUBAHAN terhadap barisan kejurulatihan dalam bola sepak Kedah perlu dilaksanakan bagi memberi nafas baharu kepada pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk bersaing dengan lebih baik pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, perubahan itu perlu dilakukan berdasarkan penilaian semasa prestasi pasukan.

"Perubahan itu memandangkan pengemudi yang sama telah bersama pasukan KDA FC sejak empat tahun lepas. Selain itu, bagi memastikan prestasi pasukan berada dalam keadaan baik, pusat latihan KDA FC dengan kemudahan yang lebih canggih dan bertaraf antarabangsa perlu disediakan.

"Ini bagi meningkatkan kualiti latihan seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu permainan individu yang akan menghasilkan pemain berbakat di Malaysia,” katanya semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, Kedah pada Rabu.

Dia menjawab soalan Mohd Asmirul Anuar Aris (Amanah-Kubang Rotan) yang meminta kerajaan negeri menganalisis maklumat serta membentangkan laporan kegagalan Sukan Malaysia (Sukma) dan pasukan bola sepak Kedah dalam Liga Super Piala Malaysia untuk tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.

Screenshot 2022-11-02 at 1.12.05 PM

Mohd Firdaus berkata, perubahan dalam kejurulatihan perlu dilakukan berdasarkan penilaian semasa prestasi pasukan. — Facebook

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, untuk jangka masa panjang, KDA FC telah menubuhkan jawatankuasa teknikal dan ‘scouting’ untuk mengesan bakat muda dari peringkat umur 14 dan 15 tahun untuk diserap ke dalam pasukan akademi Bawah 17 tahun Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah-KDA FC.

"Pemain muda yang berbakat memudahkan kelab untuk menyediakan kumpulan pelapis pemain untuk diketengahkan kepada pasukan simpanan dan pasukan utama. Selain itu, perancangan perniagaan lebih berstruktur dengan memperkukuhkan aspek pemasaran dan penjenamaan kelab untuk meningkatkan punca pendapatan seterusnya memastikan kewangan kelab lebih stabil,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai kegagalan atlet Kedah mencapai sasaran 25 pingat emas pada Sukma 2022 lepas, dia berkata, sembilan acara yang sepatutnya memenangi emas telah tersasar memenangi pingat perak iaitu sukan berbasikal, pelayaran, badminton, skuasy dan lawn bowls.

"Antara punca kegagalan untuk mencapai sasaran itu ialah kalah tipis di perlawanan akhir, keputusan teknikal tidak menyebelahi atlet Kedah, faktor cuaca dan angin, kecederaan pada saat akhir serta atlet kebangsaan yang diharapkan gagal menyerlah.

"Pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) telah menjalanklan ‘post moterm’ bagi menilai dan mengkaji punca-punca kegagalan pasukan Sukma mencapai sasaran pingat pada edisi yang lepas dengan hanya berjaya mengutip 16 pingat emas,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram