Rajes pendiam tapi banyak beri dorongan — Kalamullah


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Kalamullah Al-Hafiz menyifatkan mendiang Rajes ketika hayatnya merupakan seorang yang tidak banyak bercakap. — Facebook

PEMAIN pertahanan kanan Petaling Jaya City (PJ City FC), Rajes Perumal dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu Caves, Gombak, Selangor awal pagi Isnin.

Pemergian mendiang pastinya dirasai seluruh pasukan termasuk barisan kejurulatihan skuad The Hawks itu.

Jurulatih PJ City FC, P Maniam menyifatkan pemergian pemain berusia 37 tahun itu sebagai satu kehilangan besar buat pasukannya.

P Maniam berasakan pemain pertahanan kanan itu sebagai orang penting dalam skuad yang terkenal dengan tagline Yakini Lokal kerana menampilkan 100 peratus pemain tempatan.

"Kadang-kadang saya memang berbincang dengannya mengenai barisan pemain skuad PJ City dan bagaimana untuk menambah baik prestasi pasukan," katanya.

PETALING JAYA, Dec 7 -- The new head coach PJ City FC P. Maniam speaking during a press conference PJ City FC unviels ambitious 'all local team' for 2021 season at Qi Tower today.-- fotoBERNAMA (2020) COPYRIGHT RESERVED

Maniam menyifatkan pemain pertahanan kanan itu sebagai orang penting dalam skuad PJ City FC. — Facebook

Beliau berkata, mendiang juga merupakan pemain yang komited dan berdisiplin serta menjadi tauladan buat para pemain.

"Dia seorang yang berdisiplin dan sangat komited sebagai pemain dan dia juga suri teladan buat pasukannya," katanya.

Rajes meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan motosikal lewat malam Ahad.

Kemalangan berlaku semasa mangsa menaiki motosikal dari arah Jalan Sri Batu Caves menghala Batu Muda pada 10.30 malam dan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar pokok di bahu jalan berkenaan.

Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kehilangan pemain itu memberi tamparan buat skuad himpunan pemain tempatan itu apabila mendiang banyak membantu PJ City sepanjang kempen Liga Super musim ini.

Penampilan terakhir mendiang ialah ketika masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir menentang Kuala Lumpur City (KL City) Sabtu lalu.

Dalam pada itu, rakan sepasukan Rajes, Kalamullah Al-Hafiz yang merupakan penjaga gawang PJ City berkata, mendiang ketika hayatnya merupakan seorang yang tidak banyak bercakap, namun banyak memberi dorongan kepada rakan sepasukan.

Kehilangan mendiang turut mengundang rasa sedih pelbagai pihak termasuk Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang mengucapkan takziah dalam laman sosial pada Isnin.

1779548

Rajes meninggal dunia pada usia 37 tahun setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada pagi Isnin. — Facebook/KFA Malaysia

“Salam takziah buat keluarga mendiang Rajesh, pemain PJ City FC yang meninggal dunia awal pagi ini. Semoga keluarga mendiang tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini,” catat PFAM di Facebook pada Isnin.

Selain itu, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) di Facebook turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan berkongsi mengenai pengalaman pemain itu yang pernah mewakili PKNS FC, Selangor dan Kedah sepanjang kariernya.

Rajesh yang memulakan karier sebagai pemain bola sepak profesional pada 2011 beraksi bersama PKNS FC (kini Selangor II) pada 2011 dan membantu kelab itu menjuarai Liga Premier pada tahun sama.

Dia turut melebarkan kariernya bersama Selangor FC pada 2014 dan kemudiannya menyarung jersi Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2015.

Mendiang menyertai PJ City pada 2018 dan terus kekal sehingga 2022 yang juga musim kelimanya bersama kelab itu.

Bagi musim ini, Rajesh membuat 12 penampilan secara keseluruhan iaitu enam kali dalam kesebelasan utama dan enam kali sebagai pemain gantian. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram