Anak jati Rawang redakan kebimbangan penyokong Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Kemenangan tipis Selangor FC ke atas PJ City dihasilkan menerusi jaringan minit-minit akhir Danial Asri. — Facebook/MFL

MEMASUKI minit ke-80 perlawanan, penyokong Selangor FC mungkin seakan-akan terpaksa menerima hakikat bahawa pasukan tersebut gagal memecahkan benteng pertahanan kental Petaling Jaya City (PJ City) FC.

Walaupun ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe berjaya menurunkan barisan pemain terbaik, keutuhan pasukan The Hawks menyukarkan percubaan dibuat ke arah gawang gol yang dikawal rapi Kalamullah Al-Hafiz.

Namun, tidak lama selepas itu, penyerang yang baru memasuki padang, Danial Asri muncul penyelamat buat skuad Gergasi Merah apabila dia berjaya memecahkan kebuntuan menerusi tandukan mudah, sekali gus memastikan Selangor menang 1-0 dan membawa pulang tiga mata berharga dalam aksi Liga Super pada Jumaat.

Gerakan menarik yang dilancarkan seorang lagi pemain muda, Mukhairi Ajmal di posisi sayap kanan berjaya mengelirukan pertahanan sebelum hantaran lintang dibuat menemui rakan sepasukannya itu.

Jaringan tersebut jelas bermakna buat pemain berusia 22 tahun itu apabila ia merupakan gol pertama peribadinya dalam saingan Liga Super musim ini.

Tidak cukup dengan itu, sumbangan tersebut jelas dihargai pihak kejurulatihan dan pengurusan apabila Danial dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun hanya beraksi selama 20 minit.

Kemenangan itu turut meringankan sedikit bebanan yang ditanggung Selangor FC dengan mereka berjaya memintas Sri Pahang FC untuk menduduki tangga ketujuh selepas 20 perlawanan.

310142119_521130970018636_7866893977245072707_n

Penyokong Selangor FC mula berasakan Danial merupakan satu prospek masa depan pasukan. Facebook/Selangor FC

Bagi penyokong pula, walaupun segelintir melihat ia merupakan tandukan mudah, status Danial sebagai anak jati Rawang membolehkan namanya terus dijulang.

Pemain berjersi no. 17 itu, yang juga dikenali sebagai 'Suarez' dalam kalangan penyokong bukanlah seorang penyerang prolifik dan sering diberikan peluang.

Dalam lapan perlawanan yang diturunkan, bekas graduan Selangor FC II itu berjaya mencipta satu hantaran gol serta menjaringkan satu gol buat Gergasi Merah.

Bagaimanapun, melihat kepada semangat dan jati diri Danial, tidak hairanlah apabila penyokong mula berharap agar bakatnya tidak disia-siakan menjelang akhir musim ini.

Seorang penyokong bola sepak tempatan, Saiful Redzuan berkata, pujian harus diberikan kepada Danial dan Mukhairi yang tidak mensia-siakan peluang keemasan itu.

"Saya rasa, Danial pun tidak menjangkakan bahawa dia mampu membuat tandukan untuk menjaringkan gol pada perlawanan itu. Apa-apa pun, tahniah kepada anak tempatan kerana bantu pasukan," katanya.

Perkara itu turut diluahkan Saharuddin Adnan yang memuji sumbangan Danial meskipun hanya beraksi buat beberapa minit untuk menggantikan penyerang Brazil, Herlison Caion.

"Masuk sebagai pemain gantian pun boleh menerima anugerah pemain terbaik perlawanan. Betul hebat Danial Asri yang juga kami kenali sebagai Danial Suarez ini," katanya.

Seorang lagi penyokong, Hishamudin Abdul Rahman juga mengangkat nama penyerang muda itu setelah dia memberi pelbagai pilihan buat Cheng Hoe di posisi tersebut.

"Memang hebat! Tidak perlulah Selangor FC bergantung kepada seorang sahaja kerana pasukan perlu variasi di posisi itu. Nampak lah juga pembacaan permainan daripada ketua jurulatih kerana memasukkan pemain gantian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram