PEMAIN pertahanan kanan Petaling Jaya City (PJ City FC), Rajes Perumal dilaporkan meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu Caves, Gombak, Selangor awal pagi Isnin.
Berita tersebut dikongsi oleh rakan sepasukannya, S. Subramaniam yang mengesahkan berita duka tersebut dengan memuat naik status di laman media sosial miliknya.
Dalam muat naik tersebut, pemain pertahanan PJ City itu juga memohon supaya gambar-gambar kemalangan tidak disebarkan agar tidak menyinggung perasan keluarga terdekat mendiang.
"Sahabat saya Rajes Perumal, pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia di Batu Caves. Mohon jangan sebarkan gambar-gambar kemalangan beliau di media sosial dan Whatsapp demi menjaga kesensitivitian keluarga dan rakan- rakan beliau. Sekian," tulisnya.
Sebagai rekod, Rajes pernah bermain untuk Selangor PKNS FC dari 2011 hingga 2013, memenangi gelaran Liga Perdana 2011.
Mendiang turut pernah menyarung jersi Selangor pada 2014 dan berkhidmat dengan pasukan Kedah pada 2015 sebelum kembali ke PKNS pada musim 2016 dan 2017.
Rajes yang menyertai PJ City pada tahun 2018 telah membuat 44 penampilan bersama dan sempat menyumbangkan tiga gol dengan enam bantuan gol.
Sesungguhnya pemergian ini merupakan satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram