Bukan cakap kosong, fans desak kelibat bekas bintang Selangor di Stadium Darul Aman


  • Podium
  • Isnin, 31 Okt 2022

KDA FC menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan selepas satu musim mengecewakan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

KEGAGALAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menampilkan persembahan terbaik sepanjang musim menyebabkan mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan musim ini.

Kekalahan kelima sebelum musim melabuhkan tirainya menyaksikan nasib pasukan tidak berubah, sekali gus menyaksikan skuad Sang Kenari sukar untuk mengulangi kejayaan beberapa musim kebelakangan ini.

Masalah itu turut menyaksikan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak akhirnya dilepaskan daripada tugas sebelum jurulatih penjaga gol, Khairul Azman Mohamed mengikut jejak langkah.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, ramai peminat bola sepak, terutama penyokong tegar Sang Kenari menunding jari ke arah benteng pertahanan di atas kemerosotan musim ini.

313293852_537370881557600_4394074133732109091_n

'Pak Ngah' dikatakan antara punca ketidak stabilan skuad Sang Kenari musim ini. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Perkara itu dibuktikan selepas KDA FC dibolosi sebanyak 41 kali dalam 22 perlawanan dengan ia merupakan satu rekod tercorot dalam kalangan 12 pasukan Liga Super.

Bagaimanapun, di sebalik kritikan 'pedas' yang dilemparkan itu, seorang pemain turut menerima tempias dengan majoriti penyokong tidak berhasrat untuk melihat kelibatnya dalam pasukan pada musim akan datang.

Pemain tersebut merupakan penyerang kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja selepas penyokong berasakan sumbangannya kurang memuaskan setiap kali diturunkan.

Meskipun pemain tersebut berjaya menjaringkan 13 gol, persembahan lemah-longlai dan kurang memberi impak dikatakan antara punca di sebalik kekecewaan penyokong.

Oleh itu, pengganti pastinya dicari untuk dibawa masuk ketika jendela perpindahan yang bakal dibuka hujung tahun dalam memastikan jentera serangan Sang Kenari bertambah baik.

Walaupun keputusan itu berada di bawah kuasa pihak pengurusan, penyokong seakan-akan sudah berjaya mengenal pasti pengganti yang mampu menggantikan 'Pak Ngah' musim depan.

Nama yang ketika ini membanjiri media sosial merupakan penyerang Melaka United, Ifedayo Olusegun yang sedang mengalami isu kontrak bersama pasukan tersebut.

311206852_541630664503480_6306618603571080353_n

Masa depan Ifedayo bersama Melaka United masih berada dalam teka-teki. Facebook/Melaka United FC

Penyerang berbisa tersebut tidaklah asing dalam kalangan penyokong selepas dia pernah meraih anugerah penjaring terbanyak Liga Super sebanyak dua kali ketika berkhdimat bersama Selangor FC.

Musim ini, sumbangan Ifedayo juga tidak mengecewakan selepas pemain kelahiran Nigeria itu berjaya menyumbat tujuh gol dalam 13 perlawanan liga.

Jadi, kehadirannya pasti ditagih beberapa pasukan Liga Malaysia dengan KDA FC menjadi salah satu destinasi sesuai buat pemain bertubuh licik itu.

"Ifedayo atau seorang lagi penyerang, Sony Norde ini boleh dikatakan laju kerana tubuh badan mereka tidak terlalu tegap, jadi bolehlah kalau diambil dan digandingkan dengan Ngah Wanja," kata Abdul Kadir.

"Kalau hendak dapatkan, lebih baik bertindak dengan lebih cepat kerana risau sekiranya ada pasukan Liga Malaysia lain yang mahu mendapatkannya," kata Amran Jaulah.

Isu pengurusan dan kewangan yang dialami Melaka United menyebabkan pasukan tersebut berada dalam situasi tidak menentu dengan laporan menyebut mereka masih gagal memperolehi lesen untuk beraksi musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram