DNA skuad kebangsaan bakal kemudi Kedah musim depan?


  • Podium
  • Ahad, 30 Okt 2022

Dong-jin mula dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih pada musim 2019. — Instagram Dong-jin

TEKA-TEKI mengenai ketua jurulatih baharu Kedah Darul Aman (KDA) FC masih menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong dan rata-ratanya menunggu pengumuman rasmi dari pihak pengurusan.

Posisi mengemudi Kedah kini diisi sementara oleh Pemangku Ketua Jurulatih (Interim), Victor Andrag untuk baki saingan Liga Malaysia selepas KDA FC menamatkan khidmat Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih pasukan Hijau Kuning.

Mengalami kemerosotan terburuk dalam Liga Super dan kekalahan pada pembukaan saingan Piala Malaysia, Sang Kenari jelas memerlukan seorang figura yang berwibawa untuk mengemudi pasukan itu bagi saingan liga musim depan.

Pelbagai nama jurulatih berpengaruh dikaitkan dengan Kedah seperti Nafuzi Zain, P. Maniam, bekas jurulatih kecergasan Kedah, Ramon Marcote dan bekas jurulatih Thailand yang Kiatisuk Senamuang.

kiatisuk

Kiatisuk turut dikaitkan dengan Sang Kenari. — Agensi

Terbaharu seorang jurulatih kelahiran Korea Selatan, Kim Dong-jin dikaitkan dengan KDA FC dan khabar berita itu ada yang menyambut baik, terdapat juga kurang menerimanya.

“Selamat datang ke Kedah,” komen penyokong Hijau Kuning, Amran Bin Abdullah An.

“Tidak kisahlah jurulatih mana pun janji tatikal dia boleh lawan dengan Johor Darul Takzim (JDT),” kata penyokong Hijau Kuning, Khalifahkhalifah Khalifah Khalifah.

Dong-jin merupakan penolong jurulatih kelab Liga Perdana Hong Kong, Kitchee SC dan dia juga pernah menyandang sebagai pengendali kelab belia pasukan tersebut.

Mula dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih pada musim 2019, pengendali berusia 40 tahun itu berjaya membantu pasukan tersebut memenangi kejuaraan Liga Perdana Hong Kong bagi musim 2019-2020 dan 2020-2021.

Dari segi kariernya sebagai pemain bola sepak, Dong-jin memulakan kerjaya profesionalnya di FC Seoul pada 2000 sebelum menyertai kelab Rusia, Zenit Saint Petersburg.

Nama jurulatih itu mungkin kedengaran asing dalam kalangan penyokong KDA FC namun dengan rekodnya sebagai penolong jurulatih di Kitchee boleh membawa nafas baharu kepada Kedah.

WhatsApp Image 2022-10-30 at 1.19.26 PM

Dong-jin (kiri) bersama Pan-gon. — Instagram Dong-jin

Terdahulu, Dong-jin juga antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan jurulatih skuad bawah 23 (B-23) terutamanya selepas gambarnya dan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon dimuat naik pada laman Instagram miliknya.

Semakan Majoriti pada laman transfermarket mendapati kontrak Dong-jin dengan kelab Kitchee SC sudah tamat pada 30 Jun 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram