Kim Swee perlukan magis atau dipintas Negeri Sembilan


  • Podium
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Kim Swee perlu segera membuat taktikal sesuai sebelum semua usaha mereka lebur sekiranya jatuh menjunam ke tangga bawah liga. — Facebook/ Sabah FC

SAINGAN Liga Super sudah semakin hampir ke detik penutupan tirainya dan juara liga semakin jelas bakal menjadi milik pasukan Johor Darul Takzim (JDT) buat kali kesembilan.

Bagi pasukan yang masih memiliki ruang untuk saling mencantas, ini merupakan peluang terbaik buat mereka mengubah nasib sebelum keputusan akhir diumumkan secara rasmi.

Persaingan yang sengit dapat dilihat antara pasukan Sabah FC dan Negeri Sembilan FC apabila kedua-dua pasukan kini dibezakan dengan satu mata yang menyebelahi skuad Sang Badak.

Masing-masing telah membuat 18 penampilan dalam saingan liga, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS) mengumpul 36 mata manakala skuad kendalian K. Devan pula dengan 35 mata.

Ini bermakna empat perlawanan yang bermula pada Oktober nanti itu boleh mengubah kedudukan liga sekali gus menggugatkan status Sabah FC sebagai pasukan kedua terbaik dalam liga selepas JDT.

Sabah FC dijadualkan akan berhadapan dengan Terengganu FC, Penang FC, Sri Pahang dan akhir sekali, JDT.

Sementara itu, Negeri Sembilan FC pula akan berjumpa dengan JDT, Kedah, Melaka United dan Sri Pahang.

Sabah FC memiliki barisan pemain yang mantap namun tumpul di bahagian penyerang. Facebook/ Sabah FC

Harith Adam menerusi laman Facebook Sabah FC Fan menekankan agar pasukan Sabah tidak leka dan segera bangkit sebelum segala usaha mereka sebelum ini lebur begitu sahaja.

"Nampaknya Terengganu dan Kedah semakin selesa. Sabah dan Negeri Sembilan FC terpaksa berdepan dengan lawan sukar. Harap Sabah FC bangkit.

"Hujung-hujung musim ini semua pasukan menunjukkan prestasi yang bagus. Tiada laluan mudah,"katanya.

Lestar Irineus mencelah: "Kita kekurangan penyerang yang betul-betul tajam. Itu sebab DOKS jadikan pemain pertahanan tengah menjadi penyerang.

"Contohnya, Baddrol Bakhtiar dan Park Tae Su yang banyak jaring. Kat bahagian tengah sudah semakin mantap dengan Garry Steven dan Stuart Stuart Wilkin,"katanya.

Junior Roy Anthony menambah:" Kalau masalah kepenatan boleh diterima sebelum ini. Tapi sekarang dah cuti lama. Perlawanan seterusnya wajib menang. Kalau alasan penat lagi saya tak tahu lagilah.

"Saya rasa kalau Sabah FC asyik kalah sahaja baki beberapa perlawanan ini. Sudah pasti Sabah akan jatuh kedudukan keempat atau kelima akhirnya," kata Shuparddy Upar.

Sebagai rekod, Sabah FC kemarau kemenangan pada tiga perlawanan terakhir setakat ini apabila seri dengan Kedah dan Kuala Lumpur City sebelum ditewaskan Selangor FC dengan catatan 2-3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram