Fans JDT rindu sentuhan pemain terpinggir, pentas Piala Malaysia harapan terakhir musim ini


  • Podium
  • Isnin, 24 Okt 2022

Harimau Selatan berharap untuk melakar lebih banyak sejarah musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

KEJAYAAN Johor Darul Takzim (JDT) untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA tahun ini membuktikan bahawa pasukan itu sudah berada di tahap yang berbeza.

Persembahan dan prestasi cemerlang yang konsisten membolehkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu mengecewakan pasukan Liga Malaysia lain dalam mengukuhkan cengkaman mereka sekali lagi.

Bagaimanapun, mereka pastinya bercita-cita tinggi untuk membawa pulang satu lagi trofi, iaitu Piala Malaysia, sekali gus mencatat sejarah sebagai kelab pertama menjulang empat kejuaraan dalam satu musim.

Tentu sekali JDT mempunyai kebolehan untuk melakukannya berdasarkan barisan pemain yang masing-masing berada di tahap terbaik dalam posisi tersendiri.

Antara pemain yang dikatakan sebagai tonggak pasukan ialah penyerang sayap muda, Arif Aiman Hanapi apabila gandingannya di jentera serangan cukup serasi.

Tiga gol dan 13 hantaran yang dicipta dalam 21 aksi Liga Super menjulang namanya sebagai antara prospek muda paling berharga buat pasukan kebangsaan.

Selain itu, kelincahan dan keupayaannya untuk mengenal pasti gerak-geri rakan sepasukan mengukuhkan tempatnya dalam skuad Harimau Selatan yang sememangnya mengharapkan khidmatnya berterusan.

Namun, tidak boleh dinafikan bahawa kemasukan Arif ke dalam kesebelasan utama menyukarkan pemain lain di posisi sama untuk menembusi pasukan serta mendapatkan minit-minit permainan.

Salah seorang pemain yang dikatakan menjadi 'korban' atas kecemerlangan penyerang berusia 20 tahun itu ialah tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid.

302088335_474569861373044_3781128728733789960_n

Adakah Safawi bakal diturunkan ketika berdepan PJ City FC Rabu ini? Facebook/JOHOR Southern Tigers

Musim ini, bekas ayam tambatan Terengganu FC itu hanya diturunkan dalam 13 perlawanan, dengan hampir keseluruhan daripadanya merupakan penampilan sebagai pemain simpanan.

Perkara itu serba-sedikit menjejaskan kemampuan dan reputasinya selepas tiga gol yang dijaringkan sepanjang musim dengan dua daripadanya terhasil sepanjang Liga Super.

Kekurangan minit permainan itu pastinya berlanjutan sehingga saingan Piala Malaysia, lebih-lebih lagi dengan Arif tidak menunjukkan sebarang kemerosotan.

Namun, bagi penyokong setia JDT, mereka mula meluahkan rasa simpati terhadap Safawi memandangkan dia pernah muncul sebagai tonggak pasukan sebelum perpindahan secara pinjaman ke kelab Portugal, SC Portimonense.

Perasaan itu diluahkan menerusi akaun Facebook Empayar Darul Takzim - EDT yamengharapkan agar pemain itu diturunkan ketika perlawanan pembukaan Piala Malaysia.

"Secara peribadi, admin nak Safawi diturunkan dalam kesebelasan utama JDT menentang Petaling Jaya (PJ) City FC Rabu ini sebab rasanya macam dah agak lama tak nampak Safawi dalam kesebelasan utama," tulisnya.

309242737_2417775091719109_8962536891449631602_n

Penyokong mula merindui kelibat Safawi Rasid dalam pasukan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perkara itu menerima pelbagai respons positif dengan Dorien Rina percaya prestasi pemain berusia 25 tahun itu mampu digilap semula sekiranya diberi peluang di atas padang.

"Ya, betul tu. Macam mana mahu jadi pemain terbaik pasukan jika tidak diturunkan dalam kesebelasan utama kerana Safawi pasti mampu menyumbang gol. Asyik Arif sahaja diturunkan, pertukaran itu perlu," katanya.

Azim Al turut menyokong bahawa minit permainan diperlukan Safawi sekiranya pihak kejurulatihan mahu melihat semula taring yang pernah dimiliki pemain itu.

"Pada saya, permainan dia dah mula meningkat semula. Harapnya, dapat diteruskan peningkatan itu dan dapatkan semula penampilan dalam skuad utama. Semoga berjaya Pawi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram