Aksi ubi muda JDT jadi sandaran harungi kempen Piala Malaysia


  • Podium
  • Jumaat, 21 Okt 2022

Penyokong berharap agar Ramadhan diberikan peluang untuk beraksi pada kempen Piala Malaysia. — Facebook/JDT

KEJOHANAN berprestij, Piala Malaysia bakal menjadi peluang terakhir untuk pasukan lain Liga Malaysia (Liga M) merangkul kejuaraan selepas Johor Darul Takzim (JDT) sudah membolot kesemua piala.

Piala FA 2022 menjadi piala pertama yang dirangkul selepas JDT menewaskan Terengganu FC dan kejuaraan kedua buat Harimau Selatan pula apabila dinobatkan juara kali kesembilan berturut-turut Liga Super.

Skuad Harimau Selatan pada musim ini menyasarkan untuk melakar kejuaraan treble dengan kejohanan yang sudah menjangkau 101 usia itu menjadi buruan seterusnya.

Selain hasrat memenangi kejuaraan Piala Malaysia, penyokong Harimau Selatan pula menyimpan impian sendiri apabila mengharapkan agar pengendali JDT, Hector Bidoglio menurunkan pemain muda.

Pemain muda yang diinginkan untuk beraksi pada kempen Piala Malaysia itu adalah pemain sayap, Ramadhan Saifullah.

Screenshot 2022-10-21 at 1.34.17 PM

Ramadhan merupakan produk kelahiran Akademi JDT. — Facebook/JDT

“Harap Ramadhan akan kembali diturunkan dalam saingan Piala Malaysia nanti. Sejak jurulatih Hector mengambil alih tugas pengendali, rasanya Ramadhan masih belum beraksi dalam kesebelasan utama mahupun simpanan.

“Berbeza ketika sewaktu era jurulatih Mora yang mana Ramadhan sering mendapat peluang dan pemain sayap lincah itu turut menjaringkan gol dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara Juara Asia (ACL) 2022 menentang Guangzhou,” luah laman penyokong JDT, Empayar Darul Takzim-EDT.

"Ya, biarlah ramai lagi pemain-pemain tempatan diturunkan bagi serasi dengan pemain-pemain import dan kacukan," sokong penyokong, Shoib Man.

Sepanjang kempen Liga Super 2022, Ramadhan hanya mempunyai sembilan minit permainan dalam 11 perlawanan yang diturunkan.

Bagi saingan kempen ACL 2022 pula pemain berusia 21 tahun itu diberikan kepercayaan oleh bekas pengendali JDT, Benjamin Mora dalam tujuh perlawanan.

Malah, dalam kejohanan antarabangsa itu, pemain kelahiran Johor Bahru itu turut mencetak satu jaringan dalam perlawanan menentang Guangzhou FC pada April lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram