AKSI Terengganu FC (TFC) menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Sabtu ini bakal menjadi jawapan sama ada skuad Penyu berhasil untuk mendapat slot ke kejohanan Piala AFC musim depan.
Misi ingin membuat penampilan kedua di pentas Asia, perlawanan terakhir Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar itu sememangnya aksi ibarat final buat skuad Penyu selepas kali pertama ke kejohanan Piala AFC pada 2012.
Memetik laporan dari Bernama, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain juga menuntut agar anak-anak buahnya bermain mati-matian di hadapan para penyokong Sang Kenari.
Bukan hanya jurulatih berusia 44 tahun itu yang berharap agar kejayaan menanti skuad Penyu, pemain lincah, Faisal Halim juga sentiasa mengidamkan agar Terengganu berpeluang beraksi di pentas Asia.
Menerusi hantaran di laman Instagram miliknya, Faisal menyatakan impian ke Piala AFC dan dia juga memberi petunjuk seperti aksi menentang skuad Hijau Kuning adalah perlawanan terakhirnya bersama Terengganu.
Tangkap layar hantaran Faisal. — Facebook/TFC
“Esok aksi terakhir saya bersama Terengganu FC dalam Liga Super. Semoga ada sinar untuk Terengganu layak ke Asia,” tulisnya.
Hantarannya itu seolah-olah sudah membuat keputusan muktamad untuk berhijrah ke pasukan lain seperti desas-desus yang mengaitkannya sebelum ini.
Terdahulu, pemain berusia 24 tahun itu mengakui menerima beberapa tawaran dari kelab lain selain TFC dan antaranya ialah Sri Pahang FC serta Selangor FC.
Selain dua kelab itu, Faisal juga dikatakan bakal ke KDA FC kerana ingin mengikut jejak langkah Nafuzi.
Hal ini kerana, difahamkan bahawa tahun ini merupakan musim terakhir Nafuzi bersama TFC selepas khabar angin mengaitkan jurulatih itu bakal berhijrah ke skuad Hijau Kuning.
Begitupun, ada juga dalam kalangan peminat yang berpendapat status Instagram Faisal sebenarnya sekadar retorik memandangkan ia sememangnya aksi terakhir Liga Super musim ini, sekali gus masih tidak menjawab masa depannya bersama TFC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram