Lambakan pemain 'mi segera' rugikan bakat tempatan


  • Podium
  • Selasa, 20 Sep 2022

Pemain-pemain kebangsaan berlepas ke Thailand bagi saingan King's Cup. — Facebook/FAM

PERLAWANAN antara skuad Harimau Malaya menentang Sri Lanka pada Oktober 2018 mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat pertama kalinya, jersi skuad kebangsaan disarung bukan anak jati Malaysia.

Jersi tersebut disarung oleh pemain kelahiran Gambia yang ketika itu berkhidmat bersama Pahang FA , Mohamadou Sumareh yang sekali gus direkodkan sebagai pemain naturalisasi pertama negara.

Sejak itu, semakin ramai pemain import yang bermastautin lebih dari lima tahun di Malaysia menerima status warganegara seperti Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula.

Lambakan pemain naturalisasi sememangnya mengubah landskap bola sepak tanah air apabila barisan Harimau Malaya mula dibarisi pemain-pemain yang jelas memiliki perbezaan fizikal ketara berbanding pemain tempatan.

Bahkan, obsesi terhadap pemain naturalisasi telah mendorong sesetengah pihak memberikan status kewarganegaraan kepada pemain import meskipun sudah berada di lingkuan 30-an yang dilihat sebagai satu kerugian.

Terbaharu, pemain tengah Sri Pahang FC, Lee Tuck yang kini telah mencecah usia 34 tahun mengesahkan dia kini memiliki status warganegara.

Tangkap layar Lee Tuck mengumumkan status kewarganegaraannya pada 31 Ogos lalu.instagram/ @lee_Tuck

Melihat kepada keadaan itu, peminat bola sepak tanah air mula mempersoalkan kemampuan pemain kelahiran England itu dalam menyahut cabaran negara kerana tahap kecergasannya sudah pasti menurun.

Tindakan terburu-buru untuk menaturalisasikan pemain luar seperti 'mi segera' atau inginkan kejayaan yang cepat tanpa mengambil kira faktor jangka masa panjang.

Satu lagi persoalan yang timbul adalah kekurangan minit-minit permainan berpunca isu pendaftaran Lee Tuck yang telah menyebabkannya tidak dapat diturunkan bersama skuad Tok Gajah dalam beberapa perlawanan.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir berasakan tindakan tersebut tidak munasabah kerana pemain tersebut boleh dianggap sudah mencapai tahap 'tamat tempoh'.

"Kalau betul nak ambil naturalisasi, ambillah mereka berumur 20 tahun. Jadi mereka akan ada tempoh panjang lagi yang boleh kita tuai. Sukan bola sepak ini bergantung pada kecergasan.

"Usia 34 tahun itu sebenarnya dah terlewat dalam sukan bola sepak. Tapi kebanyakan kelab sengaja menaturalisasikan pemain mereka kerana terdapat kuota untuk pemain import," katanya kepada Majoriti.

Jelas beliau, pengambilan terlalu ramai pemain naturalisasi menyekat peluang anak jati untuk beraksi untuk lencana di dada.

"Bila mereka menaturalisasikan pemain import, mereka jadi pemain warganegara. Jadi dari hanya lima orang pemain import dibenarkan bermain, bila naturalisasikan, tambahlah lagi seorang.

"Tapi, masalahnya di sini, ruang untuk anak tempatan bermain akan menjadi semakin sempit. Akhirnya mereka tersisih," katanya.

Skuad PJ City adalah satu-satunya kelab yang dibarisi pemain-pemain tempatan sahaja. Facebook/ PJ City FC

Tambah beliau, budaya ingin 'kejayaan segera' menyebabkan kelab tidak sanggup untuk menunggu pemain-pemain tempatan untuk cukup matang dan lebih gemar pemain dari luar.

Namun, malangnya, tiada perubahan ketara dapat diperhatikan dalam prestasi skuad kebangsaan apabila mereka masih tidak menambah baik kedudukan ranking dunia.

"Beri pemain-pemain tempatan peluang dan minit permainan. Secara peribadi, saya mengambil masa dua tahun untuk betul-betul 'matang' dalam bola sepak.

"Contohi PJ City yang yakin dengan kebolehan pemain tempatan. Mereka kerdil, tapi masih boleh beri saingan pada Johor Darul Takzim yang memiliki ramai pemain import," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram