PERAK FC di bawah bimbingan jurulatih baharu yang berpengalaman luas, Lim Teong Kim menghadapi perlawanan persahabatan pramusim 2022 menentang kelab bola sepak amatur, PIB FC di Stadium Perak, Ipoh, pada Rabu.
Perlawanan itu merupakan ujian sulung buat Teong Kim selepas sebulan dilantik sebagai ketua jurulatih pada 13 September lalu.
Dalam perlawanan itu, skuad The Bos Gaurus tewas 2-0 kepada jaringan Ikmal Mohd Idris pada minit ke-29 dan Mohd Azizul Baharuddin (minit 40).
Melihat kekalahan Perak kepada pasukan liga M3 itu, rata-rata penyokong berasakan perjalanan Perak FC masih jauh untuk mencapai taraf dan kualiti Liga Super.
Bagaimanapun, penyokong tetap optimis bahawa semuanya tidak mustahil dengan usaha gigih dan berterusan yang diterapkan oleh bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu.
Berikut merupakan tiga talking points penyokong terhadap perlawanan antara Perak FC dan PIB FC.
Kekalahan Perak kepada PIB FC mungkin kerana pemain tidak serasi lagi antara satu sama lain. — Facebook
1) Pemain trial tak serasi
Percaturan Teong Kim untuk tidak menggunakan sepenuhnya pemain dalam skuad asal dan sebaliknya menurunkan muka-muka baharu dalam kesebelasan utama, tenyata memberi impak kepada corak permainan.
Kelemahan jelas ditunjukkan baik di bahagian pertahanan hingga serangan apabila pemain-pemain gagal memanfaatkan peluang untuk menguasai bola.
"Defend berteraburlah.. semua kejar bola, tak ada seorang pun maintain shape defend," kata Khairil Rizal.
"Striker pula lambat buat keputusan, macam tak tau nak buat gol," tambah Azizi.
Khai Udin beranggapan bahawa pemain mungkin tidak serasi lagi antara satu sama lain kerana jarang beraksi bersama.
"Lebih separuh pemain trial, pemain PIB FC sudah berapa tahun dah main sekali," katanya.
Ada yang beranggapan Teong Kim sedang mengintai pemain PIB FC (berjersi biru) untuk dibawa masuk ke pasukan Perak. — Facebook
2) Teong Kim 'intai' pemain PIB
Di sebalik kekalahan itu, ada penyokong yang berasakan Teong Kim mungkin ada agenda lain untuk pemilihan pemain dalam skuad utama bagi menghadapi musim 2023.
Sebahagiannya berpendapat kemungkinan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu sedang memerhatikan kalau-kalau ada pemain PIB FC yang berkualiti dan boleh dirisik untuk dibawa menyertai The Bos Gaurus musim depan.
"LTK test je tu...nak pilih pemain..tengoklah yang main hancur terus main...yang okey sikit dia keluarkan awal," kata Shamsul Zuhaini Jamaluddin.
Muhammad 'Aamir berkata, "LTK nak tengok pemain-pemain PIB FC juga rasanya ni...mana kualiti boleh ambil."
Ruzaimi Idris pula berasakan Perak FC perlu membuat pembelian beberapa pemain tempatan untuk slot penyerang, pemain tengah, pertahanan dan penjaga gol.
"Borong juga tiga atau empat import yang bagus untuk maintain main Liga Super bagi tempoh dua ke tiga tahun sebelum boleh up pemain tempatan yang bagus," katanya.
Teong Kim diharap dapat membawa perubahan kepada pasukan Perak. — Facebook
3) Ujian berat Teong Kim
Sebagai jurulatih baharu yang perlu menggalas tanggungjawab mengemudi kelab kedua tercorot Liga Perdana dan sebelum itu bergelut dengan masalah kewangan, ia pastinya bukan tugas mudah buat Teong Kim.
Ditambah dengan harapan tinggi penyokong berdasarkan reputasi cemerlang beliau, Teong Kim dirasakan perlu membawa sesuatu perubahan kepada skuad Seladang yang turut berdepan masalah prestasi.
"Kekalahan ini bukan masalah jurulatih tapi masalah pemain itu sendiri, semoga maju jaya Teong Kim untuk musim depan. Harap dapat pancing pemain yang lebih padu," ujar Muhammad Firdaus.
Muhammad 'Aamir pula berkata, "LTK tak boleh pandang mudah Liga Super. Ini bukan macam bawa budak-budak bawah 16 tahun atau 19 tahun. Ini bukan liga pembangunan," tambahnya.
"Relaks laa, kita masih dalam proses pembangunan pemain. LTK pun baru pegang Perak FC, dia tengah pilih pemain mana layak main dengan Perak tahun depan," luah Daus Saja.
Bagi rekod musim ini, Perak berada pada kedudukan kedua tercorot Liga Perdana dengan mengumpul lapan mata sahaja. Skuad itu mencatatkan lima kemenangan, dua seri dan 14 kekalahan dalam 18 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram