TIDAK boleh dinafikan, salah satu elemen penting dalam dunia bola sepak adalah pengurusan masa depan bagi memastikan kemaraan sesebuah pasukan berjaya diteruskan.
Selain mencari wajah-wajah baharu setiap jendela perpindahan, kebanyakan kelab bola sepak, baik dalam dan luar negara sering menyemai ubi-ubi muda.
Dalam landskap tempatan, perkara itu dapat dilihat apabila beberapa kelab berjaya membangunkan pasukan simpanan supaya membolehkan setiap pemain baharu mendapatkan pengalaman dan minit permainan.
Antara pasukan simpanan yang paling menyerlah ialah Johor Darul Takzim II (JDT II) selepas mereka berjaya muncul juara dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Kejayaan untuk melahirkan wajah muda menerusi pelan pembangunan jangka masa panjang dilihat membuahkan hasil apabila terdapat ramai pemain muda yang berjaya digilap setakat ini.
Salah satu pemain yang mencuri perhatian penyokong bola sepak, terutamanya peminat fanatik Harimau Selatan ialah benteng pertahanan, Feroz Baharudin.
Pemain berusia 20 tahun itu baru-baru ini berjaya meraih penampilan pertama bersama skuad senior ketika berdepan Sri Pahang FC berikutan kecederaan yang dialami pertahanan import, Shane Lowry.
Perkara itu diikuti dengan pertembungan hangat dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di laman sendiri dan JDT berjaya meraih kemenangan selesa.
Feroz berjaya membuat debut pasukan senior ketika berdepan Sri Pahang FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Persembahan Feroz jelas tidak menghampakan dalam dua perlawanan itu apabila dia bijak membaca gerak-geri lawan serta menggunakan kelebihan fizikalnya untuk menyekat serangan.
Lebih menarik lagi, keputusan ketua jurulatih, Hector Bidoglio untuk menurunkan Feroz dalam perlawanan itu menarik perhatian ramai berikutan adanya pemangku kapten, Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam skuad.
Pendekatan taktikal itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pemain muda skuad Harimau Selatan itu merupakan pengganti jangka panjang selepas Aidil dilihat semakin kurang menyerlah ketika ini.
Pemain berusia 35 tahun itu sememangnya dikatakan menuju pintu keluar daripada JDT dalam jendela perpindahan akan datang apabila prestasi dan sumbangannya semakin terhad.
Selain itu, menerusi tinjauan di media sosial, cadangan untuk meletakkan Feroz sebagai benteng pertahanan baharu pada musim akan datang sememangnya disenangi penyokong.
Seorang penyokong, Mohd Mazni berasakan bahawa pemain berjersi no. 15 itu merupakan satu penambahbaikan berbanding Aidil melihat kepada prestasinya ketika bersama skuad simpanan.
"Dia lebih 'keras' berbanding Aidil, tengok sahajalah ketika dia bersama JDT II. Jika dia hendak merempuh seseorang, dia tidak akan befikir terlalu lama," katanya.
Bagi Mohd Zahari pula, Feroz memerlukan lebih banyak masa dalam sesi latihan, tetapi tidak menafikan bahawa dia sudah setanding dengan beberapa pemain pertahanan ketika ini.
"Perlu digilap lagi supaya setanding atau lebih baik daripada Shane Lowry. Pembacaan pergerakan bola dan terjahan perlu dimantapkan lagi dan saya lihat, dia setanding dengan Aidil dan Shahrul Saad," katanya.
Syafiq Syafiq pula berharap agar anak jati Kota Tinggi, Johor itu akan meneruskan kariernya bersama JDT supaya khidmatnya dapat terus disumbangkan ke dalam pasukan.
"Bagus Feroz ni, harap dia terus kekal dalam pasukan Harimau Selatan untuk menggantikan Aidil. Barulah semangat untuk tengok ada anak jati Johor," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram