[VIDEO] 'Superman' sebat belakang kereta, kawan sehobi gilis kepala


  • Tular
  • Rabu, 12 Okt 2022

Tangkap layar memaparkan kemalangan ngeri di kilometer 147.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Pagoh, Johor baru-baru ini.

AKSI 'superman' seorang mat rempit membawa padah apabila dia terlibat dalam satu kemalangan di kilometer 147.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Pagoh, Johor pada Ahad.

Berdasarkan video yang dikongsikan di halaman Facebook Isu Terkini Apa Hari Ini, kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian.

"Seorang Superman lepas, seorang lagi gagal. 'Sebat' belakang kereta jatuh, datang member sekaki sehobi langgar kepala.

"Senyap terus, laju-laju berlumba nak pergi mana? Takziah," katanya.

Rakaman video itu memaparkan sekumpulan lelaki menunggang motosikal secara laju dalam keadaan berbahaya dan memintas beberapa kenderaan di hadapan.

Namun salah seorang daripada penunggang motosikal berbaju kuning melakukan aksi Superman hilang kawalan lalu merempuh sebuah Perodua Myvi.

Akibat daripada rempuhan kuat itu, mangsa tercampak dan terjatuh di tengah lebuh raya berkenaan.

Lebih malang, salah seorang daripada rakan mangsa tidak dapat mengelak dan terus melanggar kepala lelaki tersebut.

Video berdurasi seminit itu telah mendapat lebih daripada 5,000 tontonan setakat ini.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya bersimpati dan mempersoalkan tindakan sekumpulan lelaki yang berlumba sehingga menyebabkan kemalangan.

"Rempit sama-sama, sekali jatuh kawan, lagi 'pulas minyak' selamatkan diri sendiri. Salam takziah buat yang kemalangan itu," kata Luffy Taro.

Bagi seorang warga maya, Wan Hashimah Shima berkata, tindakan penunggang motosikal berkenaan seperti seorang yang tidak berakal.

"Kenapa tak ada kesedaran yang menunggang motosikal itu? Sayangilah diri anda," tulisnya

Setakat berita ini ditulis belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram